SENIMAN TUNGGU PANGGILAN MENTERI KE EPU

PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) kini dalam fasa menunggu jawapan daripada Jabatan Perdana Menteri untuk langkah seterusnya mengenai jemputan penggiat seni ke Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Presidennya, Rozaidi Abdul Jamil berkata, selepas perkara itu diusulkan, pihaknya terus mendapatkan pegawai menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan untuk langkah seterusnya.

“Saya ada berhubung dengan menteri menerusi Twitter dan pegawai beliau juga sudah respons terhadap perkara ini.

“Segala butiran sudah saya berikan. Pada waktu ini, kami menunggu daripada menteri untuk perkara ini,” katanya kepada Sinar Online.

Katanya, pihaknya sudah memberi respons pantas terhadap perkara yang melibatkan kesemua penggiat seni tempatan.

“Saya amat berharap perkara ini dapat dibuat. Sudah pasti, isu ekonomi sangat berkait rapat dengan kami memandangkan penggiat seni antara penyumbang ekonomi untuk negara.

“Jadi, dengan pertemuan atau program daripada Jabatan Perdana Menteri itu nanti akan memberi ruang kepada kami untuk mengetahui lebih dalam mengenai ekonomi negara,” katanya.

Jelas Rozaidi atau lebih popular dengan panggilan Zed Zaidi ini lagi, Seniman akan membantu mengumpul semua penggiat seni tanah air.

“Seniman berhubung kait dengan persatuan yang lain. Kami boleh mengumpulkan seberapa yang dimahukan seperti yang kami lalukan untuk Transformasi Negara 2050 (TN50) di mana seribu penggiat seni yang hadir.

“Ruang itu juga akan digunakan sebaiknya oleh kami semua untuk ambil tahu mengenai keadaan ekonomi semasa,” katanya.

Abdul Rahman sebelum ini menjemput secara terbuka ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid ke EPU.

– Sinar Harian

.