SENGKETA DR MAHATHIR DENGAN ISTANA AKAN JEJASKAN PAKATAN, KATA LAPORAN

PERSENGKETAAN antara Dr Mahathir Mohamad dengan Sultan Selangor boleh menjejaskan sokongan kaum Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) yang kini diketuai bekas perdana menteri itu, lapor Straits Times Singapura.

Perkembangan terbaru adalah pengumuman oleh polis semalam yang Dr Mahathir akan dipanggil untuk disoal mengenai kenyataan yang dikatakan menghina masyarakat Bugis.

Dr Mahathir dan isterinya, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, mengembalikan darjah kebesaran yang diberikan kepada mereka susulan kenyataan berulang oleh Sultan Selangor, yang juga berketurunan Bugis.

Ketegangan yang semakin memuncak antara Dr Mahathir itu akan menjadi ancaman yang merosakkan PH – yang dituduh sebagai anti-Melayu dan Islam – pada pilihan raya umum akan datang, kata penganalisis kepada Straits Times.

Mereka mengatakan walaupun pengerusi PH itu tidak peduli dengan hubungan itu, perjuangan pembangkang untuk memenangi sokongan kaum Melayu boleh berdepan masalah jika perselisihan dengan istana Selangor bertambah buruk.

Felo kanan Institut ISEAS-Yusof Ishak, Wan Saiful Wan Jan berkata “pandangan sultan-sultan adalah penting, walaupun pada masa ada sesetengah orang mula mempersoalkan kerelevanan institusi itu”.

“Tun Mahathir mempunyai sejarah buruk dengan raja-raja Melayu. Ia tidak menghairankan tindakan atau komennya boleh digunakan terhadapnya. Masalahnya ialah, sultan boleh menyerangnya secara terbuka tetapi beliau tidak boleh bertindak balas,” katanya.

Semasa perhimpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di Petaling Jaya pada 14 Oktober, Dr Mahathir mengatakan Perdana Menteri Najib Razak berketurunan “lanun Bugis”, mengejek dakwan Najib yang beliau berasal daripada pahlawan Bugis.

Kenyataan oleh Dr Mahathir itu mencetuskan kemarahan kepada istana Johor dan Selangor serta masyarakat Bugis di Malaysia dan Indonesia.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.