SENARAI ‘KABINET HARAPAN’ DITEMUI DI KONGRES PKR

Senarai barisan kabinet Pakatan Harapan muncul sekali lagi, kali ini di Kongres Nasional PKR yang berlangsung di Shah Alam hari ini.

Sekurang-kurangnya 10 salinan bertajuk “Kabinet Harapan Malaysia” ditemui di tangga menuju ke bilik media di Dewan Raja Muda Musa.

Senarai ini menyaksikan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dinamakan sebagai perdana menteri dan Menteri Dalam Negeri. Manakala Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, dinamakan sebagai timbalannya dan menteri kewangan.

Senarai itu memaparkan simbol daripada empat parti Pakatan Harapan – PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), serta Parti Warisan Sabah.

Tidak jelas mengapa logo Warisan serta Timbalan Presidennya, Darell Leiking berada dalam senarai itu. Warisan, walaupun merupakan parti pembangkang tetapi bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan.

Selain Wan Azizah dan Lim, juga dalam senarai itu adalah pemimpin tertinggi HARAPAN- dengan pemimpin-pemimpin tertinggi setiap parti “mengisi” barisan kabinet tersebut.

Bagaimanapun, Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang tidak berada dalam senarai itu.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang sering disebut-sebut oleh penyokong mereka sebagai calon perdana menteri, juga tiada dalam senarai.

Tinjauan Malaysiakini bagaimanapun mendapati senarai itu tidak disebar secara meluas. Perwakilan PKR juga tidak dilihat memegang senarai tersebut.

Mengulas perkara itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengecam perbuatan itu sebagai “propaganda” daripada musuh politik PKR dan HARAPAN.

“Jika ada sebarang senarai, ia tak akan ditinggalkan di tangga seperti itu dan akan diumumkan di seluruh negara semasa ceramah.

“Tetapi terima kasih kepada mereka yang telah berikan rakyat idea bahawa PKR dan HARAPAN bersedia untuk mengambil alih Putrajaya,” kata Fahmi dalam satu kenyataan ringkas kepada media.

Ini bukan kali pertama senarai itu timbul. Tahun lepas, Kit Siang mengecam senarai barisan kabinet yang disebarkan di media sosial yang menamakan beliau sebagai perdana menteri dan Mahathir sebagai timbalannya.

– M’kini

.