SEMPENA ULANGTAHUN 71 BERSIAPLAH UMNO HADAPI TSUNAMI RAKYAT

UMNO merayakan ulangtahunnya yang ke 71 Khamis ini, tidak sahaja dalam kehilangan keyakinan rakyat kepada pemimpin tertingginya tetapi juga diatas keruntuhan keyakinan rakyat kepada UMNO sendiri ke taraf yang sangat parah.

Kehilangan keyakinan orang Melayu pernah berlaku terhadap pucuk pimpinan UMNO tetapi tidak kepada UMNO maka itu bila Tun Abdul Razak menggantikan Tunku Abdul Rahman maka UMNO pulih dan kekuatannya bertambah.

Dalam perayaan kali ini seluruh ahli UMNO wajib berada dalam kesedaran bahawa UMNO akan ditimpa Tsunami Rakyat pada Pilihanraya ke 14 kerana mereka tidak melakukan apa yang telah dilakukan oleh ahli UMNO terdahulu untuk menyelamatkan UMNO.

Kehilangan keyakinan seumpama ini tidak pernah berlaku dari sejak era lima Perdana Menteri yang lalu; Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak,Tun Hussein Onn, Tun Mahathir dan Tun Abdullah Badawi.

Hakisan keyakinan ini mulai berlaku tidak lama selepas Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri kerana hendak melakukan experiment Demokrasi Barat yang tidak secara langsung memberikan implikasi Tun Mahathir adalah authoritarian. Beliau menjanjikan kebebasan yang lebih luas.

Beliau memberikan tamparan yang hebat kepada Mahathir dengan membayar saguhati sejumlah RM10.5 juta kepada enam hakim termasuk Ketua Hakim Salleh Abas yang dipecat dalam masa krisis kehakiman pada 1988.

Demokrasi Barat Ini cuba disuburkan lagi oleh Najib Abdul Razak yang meggantikan Abdullah bila beliau menjanjikan penghapusan ISA yang belum pun dihapuskan telah menerima berbagai cabaran dari pembangkang yang dahagakan demokrasi.Ia digantikan dengan SOSMA yang dianggap oleh pembangkang sebagai lebih menekan dari ISA.

SOSMA memperuntukan langkah-langkah khas berhubung dengan kesalahan keselamatan.

Flip flop dalam dasar-dasar asas negara yang menyentuh Perlembagan telah berlaku . Terkini ialah membenarkan PAS membawa usul pindaan Akta 355 berhubung dengan Jenayah Syariah yang bertentangan dengan semangat liberal dan keharmonian UMNO sehingga menimbulkan prasangka buruk di kalangan bukan Islam. Rakyat melihat ini lebih kepada kepentingan survival UMNO dan Najib, bukannya kepentingan negara.

Najib demoralisekan dirinya sendiri bila sebaik sahaja Tsunami berlaku dalam pilihanraya 2013 yang dipimpinnya, beliau mengecapnya sebagai Tsunami China bila kehilangan majoriti tetapi bantahan dari orang Cina menyebabkan dia tidak lagi berani mengulangi ungkapan ini.

Dalam keadaan desperate untuk mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia, Najib sanggup bertolak ansur dengan Pas yang pernah mengkafirkan UMNO tetapi Pas bukanlah sebuah parti yang naive yang tidak dapat menciumi bahawa nama Najib berada ditaraf yang paling rendah di kalangan rakyat seluruh negara. Ia tidak sehebat ketawanya.

Apa pun janji-janji manis Pas untuk kerjasama dengan UMNO tetapi bukanlah diluar kemungkinan ia akan menikam dari belakang bila sampai masanya.

Apa yang boleh dijangkakan oleh UMNO dalam merayakan ulangtahun UMNO yang ke 71 ialah Tsunami yang akan berlaku ke atas UMNO sebagai hukuman ke atas dasar flip flopnya, kehilangan sensitivitinya terhadap rakyat, penyalahgunaan harta negara, pembaziran wang negara dan kepura- puraan yang melampau.

UMNO janganlah menyangka bahawa disebalik ketawa lebar Najib, disebalik ucapannya berapi-rapi, disebalik pengumuman berbagai projek berbillion ringgit dan disebalik pengumuman demi pengumuman pengaliran modal asing ke negara ini, semua telah sihat atau Najib telah kembali diyakini. Keadaan di akar umbi masih amat parah.

Lebih baik UMNO mimpikan Tsunami Rakyat dari Ilusi Wang Raja Segala Raja. Maka itu UMNO akan lebih waspada di ulangtahun ke 71 ini.

–¬†http://zamkata.blogspot.my/

.