Semalam di lokap, Jamal isytihar perang besar dengan BERSIH

Sejurus selepas dibebaskan dari tahanan reman sebentar tadi, pemimpin Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini mengumumkan peperangan dalam skala besar-besaran terhadap kumpulan BERSIH 5.0.

Katanya, kumpulan baju merah akan menggerakkan jentera di seluruh negara untuk menggempur kumpulan BERSIH 5.0.

“Dengan pembebasan reman ini, saya isytiharkan peperangan secara habis-habisan dengan kumpulan BERSIH 5.0.

“Penahanan saya tidak sedikit pun melemahkan semangat saya dan selepas ini, saya akan gerakkan seluruh jentera baju merah di seluruh negara untuk menggempur dan berperang dengan BERSIH 5.0 yang cukup-cukup menjadi dajal dalam negara kita ini,” katanya.

Jamal turut menggesa supaya kerajaan tidak berat sebelah terhadapnya menyebabkan gerakan baju merah akan menentang BERSIH 5.0 habis-habisan.

“Saya minta kerajaan, pihak pollis berlaku adil jangan double standard. Baju merah dikenakan tindakan, baju kuning diagung-agungkan, inilah yang menyebabkan kami akan menentang mereka habis-habisan,” katanya sambil disambut sorakan pengikut kumpulan itu.

Jamal berkata demikian kepada para penyokongnya di luar ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi selepas dibebaskan pada jam 4.45 petang tadi.

Sementara itu, dalam sidang media, Jamal turut mengumumkan gerakan tersebut akan mengadakan himpunan di Dataran Merdeka pada 5 November ini sebelum menuju ke perhimpunan besar-besaran pada 19 November.

“Untuk langkah seterusnya, kami akan mengadakan satu perhimpunan di Dataran Merdeka pada 5 November akan datang ke arah memulakan perhimpunan kami baju merah.

“(Ke arah) Gerakan merah yang lebih besar pada 19 November akan datang di mana BERSIH 5.0 berhimpun,” katanya.

“Lihat bagaimana megahnya pemimpin BERSIH ketawa seronok bagaimana mereka melakukan jenayah pada BERSIH 4.0 yang lalu, bagaimana pemimpin yang dipilih secara demokrasi dihina sedemikian rupa,” katanya.

Perhimpunan BERSIH 5.0 dijadualkan diadakan pada 19 November ini dan dalam masa yang sama, kumpulan baju merah juga akan turut berhimpun.

BERSIH 5.0 pada ketika ini sedang mengadakan siri jelajah di seluruh negara.

– M’kini

.