SEMAKIN SUKAR CAPAI NEGARA MAJU, KATA PKR

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail menempelak kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bahawa Malaysia berada pada landasan yang betul untuk mencapai taraf negara maju menjelang 2020.

Katanya, pemimpin Umno dan BN seharusnya berhenti mengelirukan rakyat dengan mengemukakan data-data ekonomi yang kononnya mengandungi angka-angka positif sedangkan rakyat secara realitinya berhadapan dengan suasana yang sukar.

“Rahman Dahlan masih tidak serik cuba mengelirukan rakyat dengan memanipulasi data ekonomi semata-mata untuk meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap Umno BN yang imejnya kian tercemar dengan budaya pembaziran, rasuah dan tatakelola yang buruk.

“Dengan menjaja nama Bank Dunia yang membuat unjuran bahawa pertumbuhan KDNK Malaysia akan berada pada paras 4.3 peratus.

“Angka ini sebenarnya tidak cukup untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju atau negara berpendapatan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Rahman pada Rabu, 6 Jun lalu berkata unjuran KDNK Malaysia yang lebih tinggi oleh Bank Dunia, mengesahkan negara ini akan mencapai taraf negara maju menjelang 2020, jika ekonomi terus mencatat pertumbuhan kukuh secara berterusan.

Menurut Saifuddin, mengikut pengiraan atlas, Bank Dunia mendefinisikan negara berpendapatan tinggi iaitu apabila KDNK per kapita (jumlah tahunan KDNK dibahagikan bilangan penduduk Malaysia) mencecah AS$12,475 atau lebih kurang RM53,181.

Sedangkan, katanya pada tahun 2016, KDNK per kapita Malaysia sekadar mencecah sekitar RM37,104 sahaja.

“Dengan suasana ekonomi yang muram, ditambah lagi meningkatnya pengangguran dan inflasi, negara akan semakin sukar untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

“Seperkara lagi adalah peningkatan dan kejatuhan kadar matawang ringgit Malaysia yang mempengaruhi pengiraan KDNK,” katanya.

Saifuddin juga menyelar kemyataan menteri Umno itu yang menyatakan bahawa jurang defisit semakin menguncup.

“Hakikatnya Malaysia mempunyai pertambahan hutang negara yang semakin tinggi hingga menyebabkan (Datuk Seri) Najib Razak terpaksa mengusulkan belanjawan tambahan.

“Kenaikan kos sara hidup, pertumbuhan gaji yang rendah, jurang kaya-miskin yang melebar dan bertambahnya bilangan penerima bantuan kebajikan jelas menunjukkan bahawa data ekonomi yang digemburkan adalah retorik semata-mata untuk mengelirukan rakyat,” katanya.

Saifuddin berkata, amalan boros dan pembaziran kerajaan Umno BN dapat dilihat dalam dasar fiskal yang diamalkan dengan seringkali pembentangan bajet tahunan, akan disusuli dengan belanjawan defisit iaitu jumlah perbelanjaan akan melebihi pendapatan.

Sehubungan itu, pemimpin PKR itu mencadangkan kerajaan supaya menggubal polisi ekonomi yang mengutamakan kebajikan rakyat.

Katanya, dasar ekonomi negara tidak seharusnya ‘melebihkan poket kroni, kleptokrat dan hartawan’ yang sekian lama memiliki kekayaan lebih banyak berbanding rakyat kebiasaan.

– M’kini

.