SEMAKAN BATU PUTEH TIADA KENA-MENGENA POLITIK, KATA PEGUAM NEGARA

PERMOHONAN semakan semula kes kedaulatan Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tiada sebarang kaitan dengan politik sebaliknya dibuat semata-mata berasaskan pada kedudukan undang-undang, kata Peguam Negara.

“Saya setuju dengan komen Menteri (Belia dan Sukan) KJ (Khairy Jamaluddin)…tidak ada kaitan dengan politik atau PRU (pilihan raya umum).

“Permohonan kita adalah berdasarkan kepada penemuan bukti yang baru dijumpai dan permohonan kita adalah berlandas kepada undang-undang semata,” katanya kepada The Malaysian Insight melalui aplikasi WhatsApp.

Apandi pada Februari lalu mengumumkan Malaysia memfailkan semakan semula di ICJ berdasarkan penemuan tiga bukti baru yang sebelum itu tidak ada semasa mahkamah dunia mendengar kes berkenaan pada 2008.

Peguam Negara mengulas kenyataan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong kononnya permohonan Malaysia untuk semakan semula di ICJ itu ada kaitan dengan pilihan raya umum ke-14 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Tiga bukti yang diajukan Malaysia bagi permohonan semakan semula berkenaan diperoleh daripada National Archives United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017.

Bukti tersebut termasuklah surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian yang difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada tahun yang sama dan sebuah peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari 1960-an.

Dokumen berkenaan membuktikan bahawa Pulau Batu Puteh ataupun Pedra Branca, bukan sebahagian daripada wilayah berdaulat Singapura.

Sementara itu, Apandi berkata kes ini kemungkinan hanya akan didengar semula pada awal 2018.

“Semua pihak sedang mematuhi arahan ICJ dalam memfailkan hujahan dan dokumen, seperti yang diputuskan oleh ICJ semasa pengurusan kes pada 11 September lepas. Dijangkakan paling awal kes boleh didengar oleh ICJ pada suku tahun pertama 2018,” katanya apabila diminta mengulas tentang perkembangan kes.

Semalam, Perdana Menteri Singapura  Lee Hsien Loong memperlekeh permohonan Malaysia untuk semakan keputusan terhadap tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh, hampir 10 tahun selepas ICJ menyerahkan pulau itu atau Pedra Branca kepada republik berkenaan pada 2008.

Dalam mempertikaikan keputusan Malaysia tersebut, Lee menyatakan ia berkemungkinan kerana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang semakin hampir.

“Tetapi hampir sedekad kemudian, Malaysia ke ICJ lagi memohon mahkamah menyemak semula keputusan itu.

“Saya tidak pasti apa motif Malaysia, tetapi pilihan raya umum mereka sedang hampir, dan mungkin ia ada kaitan,” katanya memetik laporan CNA.

Kenyataan Lee tersebut mengundang kritikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang berkata ia satu tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh merosakkan hubungan antara dua negara berjiran itu.

“Untuk makluman Perdana Menteri Lee Hsien Loong, semasa penemuan fakta baharu pada Ogos 2016, pilihan raya Malaysia masih belum diumumkan.

“Pemfailan pada 2 Februari 2017 pula dibuat bagi memberi masa penyediaan dokumen dalam tempoh masa enam bulan yang diberikan.

“Sebagai peringatan, Parlimen Malaysia masih belum dibubarkan sehingga hari ini, lebih setahun dari tarikh penemuan fakta baharu tersebut,” kata Khairy yang juga ketua Pemuda Umno Malaysia menerusi kenyataan di laman Twitternya.

– www.themalaysianinsight.com

.