SEMAKAN ANWAR: MAHATHIR MOHON DAPATKAN ARAHAN PEMERHATI

Peguam-peguam Tun Dr Mahathir Mohamad mengutus surat kepada Mahkamah Persekutuan memohon mendapatkan arahan pemerhati (watching brief) dalam semakan keputusan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibuat oleh mahkamah itu.

Merujuk ‘kegagalan coram,’ Anwar awal bulan ini memfailkan semakan keputusan terhadapnya yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, kerana hakim itu telah melepasi usia bersara mandatori.

Surat itu susulan tindakan peguam Mahathir yang memfailkan rayuan semalam untuk mencabar pelantikan Zulkefli dan Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif, juga mengenai usia hakim-hakim berkenaan.

Peguam Mahathir, Haniff Khatri Abdulla, memberitahu Malaysiakini bahawa surat memohon firmanya diberikan arahan pemerhati dalam semakan Anwar, yang dijadualkan dibicarakan pada 27 November, dihantar kepada pendaftar Mahkamah Persekutuan pagi ini.

Dalam surat yang dilihat oleh Malaysiakini itu, Haniff berkata mereka percaya perbicaraan semakan Anwar berkaitan dengan isu sama yang dibangkitkan oleh Mahathir.

“Ini berkaitan cabaran kami mengenai pelantikan Md Raus dan Zulkefli yang melampaui usia persaraan wajib mengikut perlembagaan iaitu 66 tahun dan enam bulan.

“Kami telah menulis untuk diberikan kebenaran untuk menghadiri prosiding pada Isnin atau mana-mana tarikh seterusnya yang diputuskan,” kata surat itu.

– M’kini

.