SELESAI KEMELUT DALAMAN SENDIRI SEBELUM TUDUH PAS

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) perlu belajar selesaikan kemelut dalamannya sendiri sebelum menuduh Pas membawa sikap pecah belah ke dalam gabungan pembangkang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian ketika menafikan dakwaan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad ke atas Pas yang didakwa membawa perpecahan dalam pembangkang.

“Pas tidak akan mencampuri urusan parti lain atau parti pembangkang lain. Apa yang Pas buat hanyalah mempertahankan kerusi yang dimiliki Pas daripada dirampas oleh Amanah.

“Aamanah perlu sedar, kerusi yang mereka duduk sekarang adalah milik Pas. Mana boleh mereka mengaku itu kerusi Amanah. Masa PRU13 dulu yang bertanding di atas kerusi yang mereka duduki adalah Pas. Masa itu, Amanah pun tidak wujud lagi,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Khalid semalam berkata, usaha pecah belah oleh Pas dalam rundingan antara pembangkang bagi pilihan raya akan datang perlu dihentikan segera.

Menurut Khalid, titik noktah terhadap usaha Pas itu perlu bagi mengelak dari berlakunya pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya.

Menyanggah dakwaan Khalid, Tuan Ibrahim sebaliknya menasihatkan Amanah untuk memperbaiki masalah dalaman yang dihadapi.

“Saya tengok Amanah ada masalah dalaman sendiri. Kadang-kadang kenyataan pimpinan sendiri pun menggambarkan mereka yang ada masalah.

“Contohnya kenyataan tentang pembahagian kerusi. Kenyataan sesama mereka pun bercanggah. Tak ada persefahaman. Mereka sendiri tidak ada penyatuan,” bidasnya.

– SH

.