SELEPAS TIGA RUMAH ISA SAMAD, SPRM SERBU PEJABAT SPAD

PUTRAJAYA, 16 Ogos -- Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dibawa oleh Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas direman lima hari hingga 20 Ogos ini berhubung beberapa kes di Mahkamah Putrajaya hari ini. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR – Pejabat Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) hari ini diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lebih 10 pegawai bersama bekas pengerusi Felda itu tiba di tingkat empat pada jam 11 pagi, lapor Berita Harian.

Mereka mengambil masa kira-kira sejam bagi mendapatkan beberapa dokumen penting di pejabat Mohd Isa, kini pemangku pengerusi SPAD.

Hari ini dan malam tadi, tiga rumah yang ada kaitan dengan Isa diserbu SPRM dan beberapa dokumen dirampas.

Sebuah rumah itu terletak di Lavender Heights, Senawang manakala dua lagi di Nilai Springs, Bandar Baru Nilai dan Linggi, Negeri Sembilan.

SPRM juga dikatakan mengesan sebuah lagi rumah yang ada kaitan dengan Isa di Nilai.

Beliau ditahan 15 Ogos lalu dan direman lima hari bagi membantu siasatan pembelian dua hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC), termasuk di Kensington, London.

– Malay mail

.