SELEPAS SINGAPURA, JOHOR JUGA LARANG CERAMAH USTAZ HASLIN, ISMAIL MENK

JOHOR BAHRU – Johor melarang Ustaz Haslin Baharim dan Ismail Menk dari menyampaikan ceramah di negeri berkenaan.

Menurut laporan Ismaweb, arahan tersebut adalah titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim.

Kata Abd Mutalip, larangan dikeluarkan berikutan pandangan kedua-dua penceramah yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian kaum.

Kelmarin, Singapura mengambil langkah pertama dengan melarang kedua-dua penceramah dari memasuki republik berkenaan.

Kementerian Dalam Negeri Singapura (MHA) berkata, Ismail Menk dikenali dengan  ceramah yang memisah dan memecah  belah.

“Sebagai contoh, beliau berceramah bahawa adalah menjadi dosa besar dan jenayah bagi seorang Muslim untuk mengucapkan kepada bukan Islam Selamat Hari Krismas dan Selamat Deepavali, yang secara ringkas orang Islam tidak dibenarkan mengucapkan perasaan gembira semasa perayaan agama orang bukan Islam,” katanya kenyataan dari laman MHA.

Haslin pula telah melahirkan pandangan yang menggalakkan ketidakharmonian antara orang Islam dan bukan Islam yang beliau sifatkan sebagai ‘menyeleweng’.

Pandangan  memecah belah seperti itu menyemai amalan tidak bertoleransi dan eksklusif yang boleh merosakkan keharmonian dan menyebabkan masyarakat  berpecah, kata kementerian tersebut.

– Sinar Harian

.