SELEPAS SEDEKAD, PENGARUH HINDRAF SEMAKIN PUDAR

SEDEKAD selepas mengadakan protes jalanan masyarakat India terbesar di Malaysia, Hindraf menegaskan ia pilihan terbaik masyarakat itu, namun pengkritiknya berkata kumpulan hak asasi Hindu itu sudah tidak lagi relevan.

Para pemerhati bagaimanapun berpendapat persaingan dan perebutan kuasa dalam Hindraf menjadikannya hampir tidak wujud dan tidak mempedulikan keperluan sebenar masyarakat India.

Hindraf terkenal pada 25 November, 2007 apabila berjaya mengumpulkan berpuluh ribu orang India pada perhimpunan jalanan di Kuala Lumpur.

Perhimpunan itu tercetus apabila sebuah kuil Hindu di Kuala Lumpur dirobohkan, di samping menuntut kerajaan menangani isu-isu seperti kerakyatan dan pemindahan pekerja-pekerja ladang getah.

Peguam P. Waythamoorthy yang kini memimpin Hindraf, menegaskan yang masyarakat India mendapat manfaat daripada bantuan dan program kerajaan selepas perhimpunan itu.

“Kami telah menghapuskan mentaliti hamba dan ketakutan masyarakat India dengan mengembalikan maruah mereka tanpa perlu lagi rasa dipinggirkan,” kata Waythamoorthy dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

“Selepas pergerakan kami, kerajaan mengadakan pelbagai program untuk menaikkan taraf masyarakat India.”

Pada April lalu, Perdana Menteri Najib Razak melancarkan Pelan Induk Perkasa Masyarakat India dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion.

Masyarakat India yang berpendapatan rendah akan menerima manfaat daripada suntikan RM500 juta ke dalam skim pelaburan unit amanah.

Lebih ramai lagi akan diberi tempat di universiti awam, politeknik dan kolej, dan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah akan diberi bantuan belajar.

Orang India yang telah berada di Malaysia sebelum 1957 juga akan diberi kerakyatan.

Hilang momentum

Bagaimanapun, pemerhati sosiologi dan masyarakat, Dr Denison Jayasooria berkata, selepas berlaku perbalahan antara lima pemimpinnya, matlamat dan dasar Hindraf kini sudah hilang.

Mengakui yang usaha Hidraf telah berjaya mendapatkan perhatian luar biasa terhadap isu-isu melibatkan masyarakat India, namun kata Denison, ia telah hilang pengaruh selepas 2007.

“Hindraf pada masa dulu, terutamanya pada 2007 dan 2008, menarik minat semua, termasuk golongan pekerja dan profesional,” beliau memberitahu The Malaysia Insight.

“Masalahnya sekarang ialah Hindraf pada 25 November 2007 itu sudah tidak wujud.

“Ada yang sekarang ini dalam PKR atau DAP, mengamalkan parti berbilang kaum,” kata beliau yang merujuk kepada pemimpin utama Hindraf, P. Uthayakumar, M. Manoharan, K. Vasantha Kumar, V. Ganabatirau dan R. Kengadharan, yang ditangkap dan dipenjarakan selama hampir setahun setengah selepas perhimpunan itu.

Denison, yang juga pengerusi bersama Malaysia Civil Society Organisations for Sustainable Development Goals berkata momentum 2007 itu tidak dikekalkan akibat perebutan kuasa.

“Semua perlu bersatu. Walaupun kita boleh ‘bersetuju untuk berbeza’, perpaduan yang lebih utuh diperlukan untuk masyarakat, daripada terlalu banyak parti serpihan dan terlalu ramai pemimpin dalam pergerakan yang kecil.”

Katanya, masih ada banyak lagi isu yang belum selesai yang dihadapi masyarakat India yang mesti diatasi untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.