Selepas jumpa Anwar, peguam AS kata Malaysia lebih baik

Peguam Amerika Syarikat yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menukar rentaknya dan berkata Malaysia adalah lebih baik daripada Afghanistan, selepas Kementerian Dalam Negeri meluluskan permohonannya untuk berjumpa dengan bekas ketua pembangkang itu di penjara.

“Nah semalam lebih mudah untuk mendapatkan akses kepada pelanggan di Afghanistan.

“Tetapi hari ini, Malaysia menang, adalah lebih mudah untuk mendapatkan akses kepada pelanggan saya daripada di Afghanistan,” kata Kimberley Motley kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Anwar di penjara Sungai Buloh hari ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pihak berkuasa penjara kerana meluluskan dan memudahkan perjumpaan itu.

Motley yang dilantik sebagai peguam Anwar, minggu lalu, dinafikan aksesnya, semalam.

Sehubungan itu, peguam Amerika itu berkata bahawa Afghanistan melayan tahanan politiknya lebih baik daripada Malaysia.

Dalam mesyuarat mereka hari ini, Motley berkata Anwar berharap penyokong dan bukan penyokongnya sentiasa sihat.

Beliau juga memberi arahan berkaitan undang-undang, tetapi Motley enggan mendedahkannya kerana ia adalah rahsia peguam-anak guam.

Beliau akan kembali ke Amerika Syarikat hari ini, tetapi dijangka kembali semula sebelum permohonan semakan kehakiman Anwar terhadap sabitan kesalahannya oleh Mahkamah Persekutuan pada 12 Oktober nanti.

“Jadi, kami menjemput sesiapa sahaja yang mempunyai kepentingan dalam kebenaran dan keadilan hadir pada perbicaraan mahkamah pada 12 Oktober ini,” katanya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Beliau bertegas dirinya tidak bersalah dan berkata pertuduhan itu adalah bermotifkan politik. – M’kini

.