SELEPAS ANNUAR MUSA TIDAK DIDAKWA DALAM KES MARA, APA JADI PULA KEPADA FELCRA DAN FELDA?

Selepas setahun disiasat SPRM dan Annuar Musa sendiri digantung jawatannya sebagai Pengerusi MARA dalam tempoh tersebut, beliau akhirnya dibebaskan dengan alasan agensi pencegah rasuah tidak cukup bukti untuk mendakwanya.
Keputusan SPRM yang diumumkan beberapa hari selepas berakhirnya PAU2017 segera menimbulkan banyak persoalan di kalangan orangramai.
Ada yang bertanya, kenapa hanya setelah hampir setahun baru perkara itu diumumkan?
Apakah ia ada kaitan dengan tindakan Annuar yang dalam tempoh yang sama sentiasa gigih dan ketagih memuji Najib Razak dan membelasah Tun Mahathir Mohamad atas kapasitinya sebagai Ketua Penerangan UMNO?
Adakah juga ia berkaitan dengan pujian Najib dalam ucapan penggulungan PAU2017 lalu yang menyifatkan Annuar sebagai pemimpin yang kuat bekerja untuk memenangkan parti dalam PRU 14 akan datang?
Jika demikian, apakah pendedahan mengenai tajaan anak syarikat MARA kepada pasukan bolasepak Kelantan yang dimulakan oleh Tunku Mahkota Johor dan kemudian diambil tindakan oleh Majlis MARA dengan menggantung jawatan Annuar, tiada nilai dan hanya perbuatan sia-sia?
Apakah kes Annuar boleh dibuka semula dan dicukupkan buktinya jika Pakatan Harapan nanti berjaya mengambil alih Putrajaya?
Selain Annuar yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Kelantan, dua lagi pemimpin UMNO, Bung Mokhtar Radin dan Isa Samad turut sedang disiasat oleh SPRM dan keputusannya sedang dinanti-nantikannoleh masyarakat umum.
Bung Mokhtar yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan dan Pengerusi Felcra disiasat berhubung penggunaan dana agensi itu untuk membeli saham amanah yang dikaitkan dengan isteri mudanya, Zizie Ezzette didakwa mendapat manfaat daripada pembelian itu.
Atas perkara itu, Bung Mokhtar telah disiasat selama 12 jam di pejabat SPRM pada Ogos 2016. Namun, setelah lebih setahun berlalu, masih tiada khabar berita mengenainya.
Isa Samad, Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang pula disiasat berhubung pembelian hotel oleh Felda di London dan Sarawak ketika beliau menjadi Pengerusi Felda.
Beliau pernah ditahan reman selama lima hari pada 0gos 2017, tetapi siasatan terhadap kes itu difahamkan memerlukan lebih banyak masa kerana bukti-buktinya banyak berada di luar negara.
Tetapi, beberapa hari selepas dibebaskan daripada tahanan reman, Isa kemudiannya difahamkan menerima surat rasmi berhubung perlantikannya sebagai Pengerusi SPAD.
Rentetan bebasnya Annuar daripada kes yang sedang dihadapinya, persoalan ramai kini ialah apakah pula nasib Bung Mokhtar dan Isa Samad?

Apakah mereka juga bakal dibebaskan atau akan menerima nasib yang berbeza daripada Annuar?

–¬†http://shahbudindotcom.blogspot.my/2

.