SELEPAS 30 TAHUN, SUKAR TAPI TAK MUSTAHIL KEMBALIKAN SEKOLAH INGGERIS

BENARKAN sebahagian sekolah mubaligh kembali kepada sekolah aliran Inggeris adalah langkah pertama untuk meningkatkan penguasaan bahasa itu dalam kalangan pelajar, kata Persekutuan Majlis Sekolah Mubaligh Kristian Malaysia (FCCMSM).

Pengerusinya Moey Yoke Lai berkata penghapusan sekolah aliran Inggeris tiga dekad lalu telah memberi kesan besar kepada penguasaan bahasa itu dalam kalangan pelajar tetapi menambah yang ia boleh diperbaiki dengan memperkenalkan kembali sekolah aliran Inggeris.

“Ia akan jadi tugas sukar tetapi masih boleh dilakukan jika sebilangan sekolah yang lebih lengkap untuk mengajar Bahasa Inggeris- seperti sekolah mubaligh- boleh dibenarkan menggunakan kembali Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara.

“Kerajaan boleh mengubah sekolah jenis ini kepada sekolah aliran Inggeris di mana mereka boleh mengajar pelbagai mata pelajaran menggunakan Bahasa Inggeris, seperti Geografi dan Sejarah.

“Sekolah mubaligh asalnya menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaran untuk pengajaran sehinggalah kerajaan mengubahnya kepada BM (Bahasa Melayu),” kata Moey yang memberikan beberapa contoh seperti sekolah Methodist di Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang serta sekolah St Mary di Kuala Lumpur sebagai sekolah yang memberikan penekanan besar kepada penguasaan Bahasa Inggeris.

Katanya, tidak akan ada masalah selagi mana sekolah ini boleh memastikan Bahasa Melayu tidak diabaikan.

“Pelajar akan berupaya untuk berkomunikasi dengan fasih dalam Bahasa Inggeris dan Melayu. Kemudian, kita akan dapat menyaksikan peningkatan penggunaan Bahasa Inggeris dalam perbualan seharian.  

“Semua rakyat Malaysia kemudiannya akan menjadi penutur dua atau tiga bahasa jika mereka fasih dalam Bahasa Inggeris, Melayu dan bahasa asal masing-masing. Rakyat Malaysia boleh pergi jauh,” kata Moey kepada The Malaysian Insight.

Katanya juga Malaysia masih mempunyai guru bersara Bahasa Inggeris yang sudah bersara, dan boleh dilantik kembali untuk mengajar bahasa itu.

Kerajaan pada masa kini membenarkan sejumlah 300 buah sekolah di seluruh negara untuk melaksanakan “Program Dwi Bahasa” yang memberikan pilihan kepada sekolah untuk mengajar sama ada Matematik, Sains dan Teknologi Komunikasi Maklumat dalam Bahasa Inggeris atau Melayu.

“Tetapi sekolah ini bukan beraliran Inggeris. Jika program ini berjaya di sekolah terlibat, mereka patut mengeksport program ini ke lebih banyak sekolah,” kata Moey yang juga merupakan ketua pegawai eksekutif Kolej Methodist Kuala Lumpur.

Beliau mempunyai pengalaman 45 tahun mendidik, mengajar di sekolah kerajaan dan sekolah mubaligh bantuan kerajaan dan merasai perubahan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Malaysia secara langsung.

Katanya, selepas sekolah aliran Inggeris dihapuskan, bahasa itu terpinggir menjadi bahasa kedua.

Usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris boleh dilakukan tanpa meminggirkan kedudukan Bahasa Melayu, misalnya pelajar sekolah aliran Inggeris perlu meraih skor mata tertentu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2017.
Usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris boleh dilakukan tanpa meminggirkan kedudukan Bahasa Melayu, misalnya pelajar sekolah aliran Inggeris perlu meraih skor mata tertentu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2017.

“Tetapi kejatuhan sebenar adalah menjadikannya mata pelajaran tak perlu lulus dalam SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Pelajar hanya perlu lulus BM dan Sejarah, dan ia menyebabkan menurunnya penggunaan Bahasa Inggeris di negara ini,” katanya.

“Hasilnya, ramai pelajar berdepan masalah tata bahasa serta ejaan yang lemah.  

“Sekarang kita ada graduan yang tidak boleh menulis surat dalam Bahasa Inggeris dengan baik dan majikan mereka terpaksa melakukan tugas itu yang menganggu perniagaan,” kata Moey.

Beliau menegaskan yang FCCMSM dan Majlis Sekolah Kristian Malaya (MCSC) merasakan pengajaran dalam Bahasa Inggeris perlu kembali diperkenalkan di sebilangan sekolah untuk permulaan dan kemudian dilaksanakan di lebih banyak sekolah bila terbukti berjaya.

Katanya, mereka menyokong gesaan yang dibuat pelbagai pihak lain, termasuklah kumpulan berpengaruh, Kumpulan Tindakan Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (Page) yang juga memperjuangkan pengenalan semula sekolah aliran Inggeris.

“Negeri seperti Sabah dan Sarawak yang mempunyai kuasa autonomi dalam soal seperti pendidikan perlu dibenarkan untuk mempunyai sekolah aliran Inggeris jika itu yang mereka mahukan.

“Untuk sekolah di Semenanjung, saya merasakan sekolah di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Johor dan Kuantan perlu diberikan peluang untuk memulakannya.  

“Kita perlu tunggu dan lihat jika kerajaan akan benarkannya,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan berkata yang Malaysia perlu mempertimbangkan kembali pengenalan sekolah aliran Inggeris untuk meningkatkan daya saing tenaga kerja negara bagi berdepan Revolusi Industri 4.0.

Katanya ini susulan kajian terbaru Institut Yusof Ishak Singapura (Iseas) yang mendapati lapan daripada 10 rakyat Johor mahu sekolah aliran Inggeris kembali diperkenalkan di negeri itu.

Page memberikan sokongan kepada Johor untuk memperkenalkan kembali sekolah aliran Inggeris, dan pengerusinya Noor Azimah Rahim dilaporkan berkata yang sudah wujud hasrat politik memulakan rancangan awal pengenalan semula sekolah aliran Inggeris seperti yang digambarkan oleh hasrat pendekatan radikal untuk meningkatkan kefasihan Bahasa Inggeris seperti termaktub dalam Fasa Dua Transformasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Azimah mengatakan yang kerajaan boleh memastikan penguasaan Bahasa Melayu pelajar tidak terabai dengan meletakkan syarat kepada sesiapa yang menghadiri sekolah aliran Inggeris untuk memperolehi skor purata nasional untuk Bahasa Melayu.

Bahasa perantara sekolah sentiasa menjadi isu sensitif dan banyak kali diperdebatkan dalam sistem pendidikan Malaysia. Dasar pendidikan seringkali dirangka dan diubah kerana tekanan serta kepentingan politik.

Pada forum “Malaysian Education: Where Are We Heading” Selasa lalu, bekas pegawai kanan Kementerian Pendidikan, Satinah Syed Saleh mengatakan Perdana Menteri Najib Razak menyokong penggunaan Bahasa Inggeris ketika menyandang jawatan menteri pendidikan.

Tetapi sokongan Najib berkurangan sejak menjadi perdana menteri, tidak melakukan apa-apa untuk mengembalikan semula sekolah aliran Inggeris mungkin kerana “takut kalah pilihan raya”, Satinah dilaporkan berkata.