SELEPAS 13 DIS INI, LUPAKANLAH PAS, BIAR RAKYAT MENGHUKUM MEREKA

PPBM dijangka akan menganggotai Pakatan Harapan secara rasmi pada 13 Disember ini. Ia sekaligus menjadikan gabungan yang disertai PKR, DAP, Amanah dan PPBM itu mampu muncul sebagai pencabar utama kepada BN dalam pilihanraya akan datang ini.
Berdasarkan ucapan Najib Razak dalam Perhimpunan Agung UMNO minggu lalu, PRU 14 mungkin hanya beberapa bulan saja lagi daripada sekarang. Najib tidak mungkin menangguhkan lagi tarikh pembubaran Parlimen sehingga UMNO perlu bersidang sekali lagi kerana momentum persediaan pilihanraya yang sudah dipasakkannya akan menjadi anti-klimaks.
Oleh itu, Pakatan Harapan dengan keanggotaan empat parti sedia ada dan dalam masa yang sama menjalin kerjasama dengan Warisan di Sabah tidak perlu berlengah lagi untuk melancarkan gerak kerja bagi menumbangkan BN dan seterusnya muncul menjadi kerajaan yang baru.
Selain kerana pengaruh Tun Mahathir yang tetap gigih untuk menjatuhkan Najib dengan pelbagai gaya serangannya, kebencian rakyat pada tahap gaban kepada Perdana Menteri ketika ini dan ia sentiasa meningkat hari demi hari, tidak banyak lagi yang mampu dilakukan oleh BN untuk mempertahankan kuasa mereka.
Hampir tidak ada lagi segmen dalam masyarakat yang suka kepada Najib. Beliau lebih banyak dipersenda, diperlekeh dan dipermain-mainkan oleh rakyat di serata pelusuk negara yang menandakan mereka hanya menunggu masa saja untuk merealisasikannya.
Kegusaran rakyat selama ini kepada parti-parti pembangkang ialah mengenai tiadanya kesepakatan dan sering berbalah sesama mereka. Rakyat memang ingin menolak dan menghumban UMNO dan BN ke gaung yang dalam, tetapi dalam masa yang sama tertanya-tanya tentang kekukuhan Pakatan Harapan yang dianggap sebagai pengganti kerajaan sedia ada.
Dengan PPBM sebagai komponen terbaru Pakatan Harapan, selepas 13 Disember itu, mereka perlu terus bergerak ke hadapan untuk meyakinkan rakyat tentang kemampuan dan kesepakatan yang ada. Pengaruh dan pengalaman Tun Mahathir pasti juga memberi markah tambahan dalam hal ini.
Jika Pakatan Harapan dapat meyakinkan perkara itu kepada rakyat serta bersama kebencian sedia ada kepada Najib, Rosmah dan sebahagian besar menteri-menteri yang tidak berguna serta selalu membuatkan rakyat sakit telinga, percayalah gabungan itu akan disambut  dengan sokongan yang lebih terbuka oleh rakyat.
Lupakanlah Pas dan biarkan parti itu mengecil dengan sendirinya melalui tindakan dan gerak kerja Pakatan Harapan yang lebih kukuh dan sentiasa bersama di tengah-tengah hari demi hari sehingga ke hari pembuangan undi.
Apa berlaku kepada Pas seterusnya, pulangkan kembali kepada parti itu untuk membuat keputusan. Jika Pas merasakan Pakatan Harapan lebih diyakini, dia boleh datang untuk berunding dan bergerak bersama-sama bagi mengalahkan UMNO dan BN, tetapi tentunya dengan syarat bahawa ia perlu menerima semua semua parti dalam gabungan itu seadanya.
Pas tidak boleh lagi hanya memilih untuk bekerjasama dengan PPBM dan PKR saja misalnya, tetapi enggan walau tersenyum dengan DAP dan Amanah. Menerima Pakatan Harapan bermakna menerima semua komponen di dalamnya.
Kiranya Pas melihat Najib “lebih kacak dan bergaya”, maka parti itu juga boleh beralih dan menjalin kerjasama dengan UMNO dan BN. Jika menang, bolehlah lebai-lebai pemimpin Pas mendapat jawatan menteri dan timbalan menteri atau kiranya BN kalah pula, sekurang-kurangnya dapatlah membimbing para pemimpin UMNO yang sudah kehilangan jawatan agar lebih mendekatkan diri kepada Tuhan dan akhirnya mudah-mudahan diberikan syurga sebagai balasan.
Setelah Pakatan Harapan mengukuhkan kerjasama sesama mereka dan bergerak untuk menawarkan perubahan, seandainya ketika itu Pas tetap juga mahu bersendirian dengan blok ketiga dan Gagasan Sejahteranya, rakyat pasti dapat menilai dan melihat wajah sebenar mereka.
Di ketika rakyat amat benci dan ingin menolak kerajaan kleptokrasi yang menyebabkan ribuan juta ringgit hilang, tetapi di dalam negara ia dilindungi dengan berbagai-bagai cara untuk mengelakkan pendakwaan, namun hanya di luar negara satu demi satu pendedahan dan tindakan, rakyat pasti tertanya-tanya kenapa Pas tidak ingin bersama-sama ke arah kebaikan?

Dalam keadaan itu nanti, mampukah blok ketiga atau blok pengacau itu terus bertahan atau mereka juga bakal kena humban sama?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.