SELEBRITI HOLLYWOOD REMUK HATI, ANAK MUDA DEMO BANTAH TRUMP

LOS ANGELES— Selebriti besar Hollywood rata-rata melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan kemenangan Donald Trump sebagai presiden baru Amerika Syarikat.

Penyanyi-penyanyi tersohor Lady Gaga menyatakan bantahannya di bangunan Trump Tower dan Madonna menggesa agar gerakan menentang calon Republikan itu tidak berputus asa.

Katy Perry menggesa penyokong Hillary Clinton agar tidak menangisi ketewasan itu.

Miley Cyrus pula, yang menangis melalui rakaman video di media sosialnya, menyatakan beliau tidak dapat tidur susulan kekalahan mengejut calon presiden parti Demokrat, lapor Reuters.

Penggerak industri hiburan menyumbang US$22 juta (RM93.59 juta) untuk kempen calon wanita itu berbanding hanya US$290,000 (RM1.2 juta) untuk Trump, lapor akhbar Variety.

Namun ada juga selebriti Hollywood yang gembira dengan kejayaan Republikan. Pelakon-pelakon Kirstie Alley dan Stephen Baldwin dilaporkan sangat senang hati dengan kejayaan Trump.

Menurut Hollywood Reporter pula, ramai ketua serta kakitangan studio penerbitan dan agensi bakat di Amerika Syarikat terkejut besar dengan kejayaan Trump, yang bakal ke Rumah Putih pada 20 Januari depan.

Kebanyakan mereka selama ini menyokong Clinton dan mengharapkan bekas setiausaha negara Amerika Syarikat itu menggantikan Barack Obama.

Sementara itu, sejurus selepas keputusan diketahui, ribuan penentang Trump dilaporkan turun ke jalan-jalan raya di beberapa kota utama bagi membantah kemenangan tersebut.

Dengan slogan “bukan presiden saya”, penunjuk perasaan yang rata-ratanya anak muda berarak melaungkan “rasis, seksis, anti-gay, Donald Trump belahlah, hey hey” di New York, lapor Hollywood Reporter.

Kira-kira 52 peratus pengundi yang berusia antara 18 hingga 44 tahun menyokong Clinton. Hanya 40 peratus bersama Trump, lapor The Guardian yang memetik sumber CNN.

Dalam kumpulan 250 penunjuk perasaan anti-Trump di Oakland, California, sebilangan mereka memecahkan pintu dan membakar tong sampah.

Di Oregon, 300 orang memprotes sehingga mengganggu lalu lintas, termasuk perjalanan keretapi.

Ratusan mahasiswa Universiti Pittsburgh di Pennsylvania pula berarak di jalan dengan menyeru kepada kesatuan.

Kumpulan kata kunci #NotMyPresident (bukan presiden saya) digunakan hampir 500,000 kali di Twitter, media sosial yang paling aktif ketika pilihan raya tersebut.

MALAY MAIL

.