SELANGOR, PULAU PINANG BUKAN MILIK PKR

SHAH ALAM  – PKR diingatkan supaya tidak menganggap Selangor dan Pulau Pinang sebagai milik mereka apabila tidak mahu PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertanding di kedua-dua negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.
Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad sebaliknya berkata, PKR sepatutnya membawa perkara berkaitan kerjasama politik termasuk soal pengagihan kerusi ke dalam mesyuarat tertutup melibatkan kepemimpinan tertinggi DAP, PKR, PAN dan PPBM.

“Selangor dan Pulau Pinang bukan milik PKR. Saya mencadangkan agar semua perbincangan mengenai agihan kerusi dilakukan dalam mesyuarat kepemim­pinan pakatan pembangkang.

“Ia menggambarkan betapa terdesaknya pihak yang mencadangkan perkara itu. Saya berharap cadangan-cadangan pramatang ini tidak lagi dibuat,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei dalam kenyataannya mem­bayang­kan PPBM dan PAN berkemungkinan tidak akan dibenarkan bertanding di negeri itu dan Pulau Pinang.

Sebaliknya kata Shuhaimi, kedua-dua parti tersebut perlu memberi tumpuan di negeri-nege­ri lain yang dikuasai oleh Barisan Nasional (BN).

– UTUSAN

.