SELAMAT TAHUN BARU, AZAM MENYINGKIRKAN NAJIB PALING SESUAI MENYAMBUT KEDATANGAN 2018

Hari ini adalah hari terakhir dalam tahun 2017 dan bermula jam 12.01 minit tengah malam nanti, semua kita akan menyambut kedatangan tahun baru 2018.

Tahun 2017 mencatat banyak sejarah duka kepada rakyat dan negara negara, lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara yang dikaitkan dengan Najib Razak.

1Malaysia yang dulu dibangga-banggakan untuk disebut dan diucapkan sudah lama tidak kedengaran dan secara senyap-senyap telah ditukar kepada 1Negara.

Lebih dari itu, kedai runcit 1Malaysia dan kedai buku 1Malaysia pula sudah “tutup kedai” secara rasmi kerana pelbagai masalah operasi yang dihadapi.

1Malaysian Development Bhd atau 1MDB, sebagaimana yang diperkatakan di seluruh dunia dan disedari oleh kita semua, akan terus menghantui masa depan Najib kerana melalui syarikat itulah bertapaknya skandal dan dosa yang tidak mungkin dimaafkan oleh rakyat Malaysia, kecuali beliau dapat dihumban dari puncak kuasa.

Di sebalik gegak-gempita kononnya ekonomi negara stabil dan pertumbuhannya sentiasa sihat serta menaik di bawah Najib yang digelar menukar demokrasi kepada kleptokrasi, MITI akhirnya mengesahkan lapan kilang mutinasional sudah pun menutup operasinya di negara kita.

Apakah petanda semua itu?

Untuk tahun 2018 mendatang, tidak mustahil cabaran yang lebih getir sedang menanti kita semua.

Maka, tahun 2018 juga adalah tahun untuk kita sebagai rakyat yang telah dibebankan dengan GST dan hutang negara hampir mencecah 1 triliion, untuk membuat pilihan dan pertimbangan pula.

Pernahkah setiap kali kedatangan tahun baru sebelum ini, kita sentiasa memasang azam, baik untuk diri sendiri, keluarga, karier dan sebagainya, tetapi sasarannya tidak pernah mengena?

Jadi, sesuai dengan 2018 yang merupakan tahun untuk rakyat membuat pilihan, apa azam paling wajar untuk kita tanam dan tekadkan dalam diri kita?

Apa kata untuk 2018 ini, semua kita mempunyai azam yang sama iaitu untuk menyingkirkan Najib dan seterusnya menumbangkan UMNO serta BN dan sepertimana kata Nurul Izzah, menjadikan beliau diktator terakhir dalam sejarah Malaysia.

Percayalah, inilah azam paling terbaik, tidak saja untuk negara, tetapi juga untuk diri sendiri, keluarga, karier serta masa depan anak-anak kita semua.

Yang lebih penting, inilah juga azam paling mungkin menjadi kenyataan bagi rakyat Malaysia pada tahun 2018 nanti.

Jika sebelum ini banyak azam kita tidak pernah menjadi kenyataan, inilah masanya untuk kita paling mungkin  menyaksikan satu azam menjadi realiti  dalam kebersamaan bersama majoriti rakyat Malaysia yang lain.

Ayuh kita mula  tanamkan azam itu dalam hati kita sekarang juga!!!

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.