SELAMAT KEMBALI WIRA AMERIKA

Sebagaimana yang tular di media-media sosial sejak semalam, terdapat surat jemputan yang dipercayai dikeluarkan oleh BN untuk menyambut kepulangan Perdana Menteri daripada lawatannya ke Amerika, malam ini.

Berdasarkan surat jemputan itu, Najib Razak dijangka akan tiba pada 7.45 malam, Jumaat (hari ini) 15 September 2017.

Sambutan akan diadakan di Kompleks Bunga Raya, KLIA dan mereka yang menyambutnya digalakkan membawa sepanduk dan kain rentang yang mengandungi  kata-kata semangat berhubung kejayaan lawatan Najib ke Amerika dan bertemu Donald Trump.

Sekiranya sebuah parti kecil yang jarang kita dengar namanya, Parti Punjabi Malaysia pun menerima jemputan, sudah barang tentu parti atau pelbagai pihak lain pun dijemput sama untuk ke KLIA petang ini.

Lawatan Najib ke Amerika dan bertemu Trump tidak dinafikan telah memberi kesan besar kepada rakyat Malaysia, terutamanya tentang tawaran beliau untuk mengukuhkan ekonomi negara kuasa besar itu.

Ia akan dilaksanakan melalui pembelian pesawat-pesawat Boeing, pembinaan infrastruktur menggunakan dana KWSP serta tambahan pelaburan oleh Khazanah yang secara keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM100 bilion.

Dengan transformasi Najib melonjakkan nama Malaysia sebagai negara membangun yang saiz ekonominya mungkin 60 atau 70 kali lebih kecil berbanding Amerika, tetapi bernafsu besar untuk mengukuhkan ekonomi negara polis dunia tersebut, mahu tidak mahu, kita harus mengakui serta mengiktiraf beliau sebagai wira kepada Amerika.

Pedulilah tentang banyak lagi kemudahan prasarana dalam negara sendiri yang jelas kekurangan dan ketinggalan zaman, cadangan mahu mengukuhkan ekonomi Amerika itu adalah lambang kejayaan seorang pemimpin terhebat kelahiran Malaysia yang harus kita sama-sama raikan.

Oleh itu, sambutlah kepulangan Najib petang ini dengan sambutan paling meriah, gah  dan besar-besaran.

Mana tahu, hasil kejayaan mengukuhkan ekonomi Amerika itu, hasilnya akan melimpah juga kepada kita dengan kesediaan Najib menurunkan kadar GST, menstabilkan kos sara hidup rakyat serta dapat menjamin harga minyak tidak terus menaik sebagaimana yang telah dilalui sejak 11 minggu yang lalu.

Sekali lagi, jom beramai-ramai, terutama pengampu dan pembodek atau sesiapa yang pernah mendapat dedak,  ke KLIA petang ini.

Hidup Melayu, Hidup Melayu, Hidup Melayu!!!

Hidup Amerika, Hidup Amerika, Hidup Amerika!!!

– http://shahbudindotcom.blogspot.sg

.