‘SELAMAT DATANG KE AMERIKA, KAMI TAHU SIAPA MO1’

Selain kritikan keras media tempatan, lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat (AS) minggu depan juga ‘dialu-alukan’ oleh bekas dutanya ke Malaysia John R Malott.

“Selamat datang ke Washington, perdana menteri.

“Kami tahu siapa kamu dan kami tahu apa yang kamu dan anggota keluarga serta kroni kamu didakwa lakukan.

“Semua pakar dasar luar di negara kami tahu siapa Malaysian Official 1,” katanya.

Dalam artikel hari ini, Malott menulis lawatan itu tidak akan membantunya, termasuk dalam usaha Jabatan Keadilan (DOJ) AS menyita aset berkaitan 1MDB yang didakwa ‘dicuci’ ke dalam sistem kewangan negara itu.

Katanya, semua pihak tahu berkaitan dakwaan skandal Najib di Malaysia dan perkara itu tergambar dalam laporan-laporan media AS.

Media AS, katanya, merujuk Najib sebagai “perdana menteri Malaysia yang terpalit skandal” (The Wall Street Journal), “pemimpin Malaysia yang terlibat skandal berbilion dolar” (The New York Times) dan “perdana menteri Najib, antara pemimpin Asia paling kontroversi” (The Washington Post).

Najib dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Rumah Putih pada 12 September depan bagi memenuhi undangan Trump.

Malott menjadi duta ke Malaysia antara tahun 1996 hingga 1998.

– M’kini

.