SELAGI TUN MAHATHIR SIHAT, SELAGI ITU UMNO TERUS SAKIT

Tun Mahathir Mohamad adalah ketakutan utama bagi Najib Razak dan UMNO. Selagi beliau sihat, cergas,  boleh bertemu rakyat dan menyampaikan ucapan, selagi itulah ketakutan terhadapnya tidak akan padam.
Diserang, dihina, dikecam, disiasat dan kini mahu dicari kesalahannya melalui RCI, tetapi keyakinan dan pengharapan rakyat terhadapnya sentiasa menggunung tinggi.
Di Kepala Batas dan Ipoh baru-baru ini, melaut rakyat hadir untuk mendengar ucapannya.
Hujung minggu mendatang ini, beliau dijadualkan berceramah di Kelantan, Terengganu dan Port Dickson. Dijangka, ribuan lagi akan hadir mendengar ucapannya.
Minggu-minggu seterusnya sehinggalah tibanya tarikh pilihanraya, lebih banyak program akan diatur untuknya.
Hakikatnya, sudah pelbagai usaha dilakukan untuk mengekang kemaraan Tun Mahathir bersama Pakatan Harapan dalam menuju Putrajaya, tetapi segala-galanya tampak tidak berjaya.
Apabila beberapa hari lalu tiba-tiba disebarkan khabar angin di media sosial kononnya beliau sesak nafas dan dikejarkan ke hospital, sebenarnya itulah harapan mereka yang bermusuh dengannya.
Memang ramai yang berharap saya mati, demikian reaksi Tun Mahathir mengenai berita tersebut.
Makin diserang, dihina, dikecam dan bakal dihadapkan dengan pelbagai kesalahan melalui RCI yang sengaja diwujudkan, sama-sekali tidak membuatkan sokongan rakyat terhadapnya berkurangan.
Sokongan rakyat kian bertambah kerana beliaulah dilihat satu-satunya harapan untuk memulihkan negara yang rosak ketika ini. Bersama Pakatan Harapan, Tun Mahathir kini adalah lambang pemulihan kepada imej dan maruah negara.
Hanya kematiannya merupakan satu-satunya berita gembira bagi mereka.
Biar pun pihak di sana ramai yang mengharapkannya agar mati cepat, dalam usia 92 tahun ketika ini, kesihatan dan kecergasannya yang terus stabil, adalah rahmat tak terhingga bagi kita semua.
Bayangkan apa jadi kepada negara ketika ini jika Tun Mahathir tiada?
Tuhan pasti tidak memanjangkan usianya dengan percuma. Jika kita yakin ada kebenaran melalui apa yang diperjuangkannya, di sebalik ramai yang mengharapkan Tun Mahathir mati cepat, marilah pula kita mendoakan agar beliau terus sihat dan cergas untuk tempoh yang lebih lama.

Hanya Tun Mahathir yang sihat dan boleh terus berkempen saja akan membuatkan UMNO bertambah sakit, derita dan mudah kita hantar ke pusara.

–¬†http://shahbudindotcom.blogspot.my

.