SEKOLAH VASANTHAPIRIYA DISERANG INDIVIDU TAK DIKENALI

Sekolah mendiang Vasanthapiriya Muniandy di Nibong Tebal, Pulau Pinang diserang oleh individu tidak dikenali.

Wakil sekolah berkata, dalam insiden kira-kira jam 10.15 pagi tadi, SMK Methodist itu dibaling batu oleh seorang penunggang motosikal.

“Walaupun pengawal keselamatan dan guru ada di situ, dia menjerit dan baling batu ke arah sekolah,” kata wakil sekolah kepada Malaysiakini.

“Tiada kecederaan tetapi sekolah buat laporan polis.

“Polis dan pegawai Cawangan Khas bergegas ke sekolah.”

Nombor pendaftaran motosikal itu juga dikatakan berjaya dikesan dan diberikan kepada polis.

“Dan menurut sumber polis, dalang itu sudah dikenal pati dan polis sudah pun melancarkan operasi memburu lelaki itu,” kata wakil sekolah.

Vasanthapiriya meninggal dunia pada usia 13 tahun pada 1 Februari lalu setelah koma kerana cuba membunuh diri.

Mendiang bertindak demikian setelah dituduh mencuri telefon bimbit gurunya.

Beliau sempat meninggalkan nota tragis yang menafikan dakwaan itu dan mencurahkan kasih sayangnya kepada guru itu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu Teoh Seang Hooi meminta orang ramai tidak meletakkan undang-undang di tangan sendiri.

“Tindakan sebegitu hanya memburukkan keadaan,” katanya.

– M’kini

.