SEKOLAH TAHFIZ JADI TEMPAT IBU BAPA ‘BUANG’ ANAK BERMASALAH

IBU bapa beragama Islam kini beralih kepada sekolah tahfiz sebagai usaha terakhir untuk memulihkan anak mereka, sama ada yang bergelut dengan akademik atau masalah tingkah laku, kata seorang pentadbir sekolah agama di Lembah Klang.

Anwar Awang, timbalan pengarah sebuah sekolah tahfiz di Rawang, Selangor, berkata 3/4 daripada 46 murid di sekolahnya menghadapi masalah disiplin dan gagal akademik di sekolah kebangsaan.

“Bagi saya sekolah tahfiz ini bawah sikit saja daripada sekolah budak-budak nakal di bawah kementerian,” kata Anwar.

Ibu bapa mereka, biasanya berpaling kepada sekolah-sekolah agama yang pada prinsipnya tidak boleh menolak murid, katanya.

“Apabila ibu bapa rasa tidak boleh lagi menjaga anak ini, mereka menghantarnya ke sini dengan harapan kami dapat memulihkan mereka.

“Ya kami tidak akan menolak mana-mana pihak yang mahu belajar al-Quran tetapi itulah dilemanya,” kata Anwar.

Kebiasaannya, pelajar memulakan kelas tahfiz pada usia 11 tahun tetapi bilangan mereka yang lebih muda mendaftar masuk ke sekolah semakin meningkat beberapa tahun kebelakangan ini.

Walaupun kebanyakan sekolah tahfiz dibiayai oleh individu dan badan korporat, pelajar tetap dikenakan jumlah minimum untuk menampung kos operasi.

Sekolah Anwar mengenakan bayaran RM350 sebulan bagi setiap kanak-kanak – RM300 untuk makanan dan penginapan dan RM50 untuk kos dobi. Bagaimanapun, keluarga yang tidak dapat membayar yuran tidak akan ditolak.

Azmi Yusof mempunyai anak lelaki berusia 17 tahun di sekolah tahfiz di Selayang. Dia membelanjakan RM450 sebulan untuk program pendidikan yang juga termasuk hafazan al-Quran dan mata pelajaran biasa lain, seperti Matematik dan Sains.

Sekolah tahfiz juga menyediakan kemudahan asrama, di mana anaknya tinggal enam hari seminggu.

Azmi berkata, setahunya tiada akreditasi bagi sekolah tahfiz, sambil menambahkan hanya melalui cakap-cakap orang adalah satu-satunya cara untuk mengetahui jika sesebuah sekolah itu bagus atau sebaliknya.

“Tidak ada pensijilan rasmi. Orang tahu sama ada sesebuah sekolah itu bagus atau tidak dengan reputasi,” katanya.

Insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah membuka mata banyak pihak mengenai kepentingan aspek kawalan dan pemantauan perkembangan sekolah agama di seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2017.
Insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah membuka mata banyak pihak mengenai kepentingan aspek kawalan dan pemantauan perkembangan sekolah agama di seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2017.

Reaksi selepas tragedi

Kebakaran maut di sekolah tahfiz di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, pada 14 September mendedahkan sisi lain sekolah agama di Malaysia.

Insiden di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah itu membunuh 23 orang, termasuk 21 pelajar, mendorong gesaan terhadap keperluan kawalan dan pemantauan perkembangan sekolah agama.

Anak lelaki Azmi didaftarkan di sekolah, yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Ia kini perlu membelanjakan RM11,000 untuk membina tangga kecemasan unutk kebakaran.

Pihak sekolah juga diminta mendaftar dengan jabatan.

Laporan berita sebelum ini mengatakan jumlah sekolah tahfiz kira-kira 10,000 negara di seluruh negara, dengan kebanyakannya tidak berdaftar atau beroperasi tanpa pensijilan keselamatan kebakaran.

Bagaimanapun, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, terdapat 1,657 sekolah tahfiz, yang mana 40% daripadanya melanggar peraturan keselamatan.

Pemeriksaan oleh The Malaysian Insight mendapati 684 sekolah tahfiz berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) manakala hanya tiga berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.

Di Negeri Sembilan, hanya satu daripada 63 tahfiz, sekolah agama dan swasta, dan sekolah pondok di seluruh negeri itu memiliki Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Sekolah tahfiz di Kampung Datuk Keramat itu tidak mempunyai CCC dan dilaporkan, antara contoh lain yang tidak menepati piawaian keselamatan, hanya mempunyai satu pintu keluar di tingkat atas di mana kebakaran bermula.

Isu sensitif

Hakikatnya, kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah tahfiz sebagai  “penyelamat” kerana masalah disiplin atau akademik menyukarkan usaha tindakan undang-undang dan mendakwa institusi-institusi ini kerana salah laku, kata pakar undang-undang.

Sebaliknya, mereka mengatakan apabila ia berkaitan dengan pusat pendidikan agama, undang-undang akan berdepan dengan sensitiviti agama.

“Tiada apa-apa yang menghalang ibu bapa daripada menyaman pentadbir sekolah tahfiz, termasuk pengetua kerana kecuaian,” kata Lim Wei Jiet, timbalan ketua pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan Undang-undang Majlis Peguam Malaysia, berhubung insiden sekolah Kampung Datuk Keramat.

“Pihak pentadbiran bertanggungjawab menjaga pelajar sekolah…Ia melanggar tugasnya dengan tidak mematuhi peraturan keselamatan kebakaran,” katanya.

“Walaupun kematian dan kebakaran disebabkan pihak ketiga, pelanggaran seperti itu turut menjadi penyebab atau menyumbang kepada kematian pelajar sekolah.”

Pengetua sekolah tahfiz Kampung Datuk Keramat, Muhammad Zahid Mahmood, berkata bangunan itu adalah asrama sementara dan ibu bapa tidak mengadu tentang isu keselamatan api sebelum ini.

Namun, peguam dan pemimpin PKR, Latheefa Koya berkata, keluarga mangsa masih boleh mengambil tindakan terhadap pengetua dan pihak lain sebagai bertanggungjawab atas semua kematian itu.

“Mereka mungkin tidak didakwa dengan pembunuhan tetapi keselamatan kanak-kanak diletakkan di bawah tanggungjawab pengendali.

“Sama ada terdapat niat untuk membakar tempat oleh kumpulan lain adalah isu berasingan,” katanya, sambil menambah pihak keluarga mempunyai pilihan untuk memfailkan saman sivil atau jenayah bergantung kepada keputusan siasatan.

Bagaimanapun, Andrew Khoo, pengerusi bersama Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam berkata, kes Keramat, seperti kebanyakan kes yang melibatkan kemungkinan kecuaian pihak institusi keagamaan, akan menjadi satu cabaran untuk ditangani.

“Saya fikir terdapat banyak isu lain – adakah ia diluluskan sebagai premis sekolah?

“Mungkin teguran secara lembut (diperlukan) kerana sekolah agama … sensitif untuk didakwa.”

Tiada seorang pun daripada ibu bapa menunjukkan keinginan untuk memfailkan saman jenayah atau sivil terhadap sekolah dan sekolah tahfiz yang dilaporkan sudah memulakan pengajarannya tanpa menjejaskan pengambilan muridnya.

Azmi, yang mempunyai anak belajar di sekolah tahfiz di Selayang berkata, dia percaya pengetua dalam kes Kampungg Datuk Keramat tidak sepatutnya dipersalahkan kerana kematian dalam insiden itu.

“Pintu itu dikunci oleh (penceroboh). Mereka membakar tempat itu. Itulah yang menyebabkan kematian.

“(Bahkan) jika terdapat dua pintu keluar, mereka boleh mengunci kedua-dua pintu.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.