SEKALI LAGI KENA KENCING

Minggu lalu saya telah menulis tentang bahasa badan Presiden Trump ketika bertemu dengan Najib. Kita semua dapat melihat klip perjumpaan ini dalam YouTube. Lihat betapa kurang ajarnya Presiden Amerika yang ke 45 ini.

Saksikan betapa angkuhnya Si Trump ini ketika dia memandang ke arah Najib. Matanya turun-naik-turun-naik. Apabila Najib membuka mulut Si Trump ini hanya berpeluk tubuh. Bahasa badan Trump menunjukkan dia sedang melihat Najib sebagai budak lekeh.

Jika berpeluk tubuh ketika orang di hadapan mata kita sedang bercakap ini adalah bahasa dan perangai Mat Gedebe. Ini bahasa samseng.

Presiden Trump jelas dilihat saperti Abang Polis sedang menahan imigran Bangladesh. Imigran Bangla ini kelihatan gelabah lalu berjanji akan mengeluarkan duit simpanan dari sakunya untuk menyogok Abang Polis. Imigran Bangladesh juga berjanji akan membeli asap rokok Abang Polis asalkan dia tidak ditangkap.

Klip video perjumpaan Najib dengan Trump ini disebarkan dari Rumah Putih sendiri. Ini pasti kerja orang dalam. Mengapa ini terjadi?

Kisahnya begini: Presiden Trump diserang hebat oleh The New York Times, Washington Post, Wall Street Journal kerana menjemput Najib datang ke Rumah Putih. Akhbar-akhbar berpengaruh dari Amerika ini memandang Najib sebagai ‘penyamun tarbus’.

Paling memalukan ialah apabila majalah Newsweek membuat induk berita memanggil Najib sebagai ‘The Malaysian crook’.

Tutup seluar koyak

Semua yang berlaku ini disedari oleh Trump. Maka langkah terbaik untuk Trump mencairkan kutukan terhadap dirinya kerana berjumpa Najib ialah dengan mengeluarkan klip video yang bertanda RAW dalam YouTube. Raw ini ertinya belum disunting.

Klip ini bermula dari belakang pintu pejabat Trump kemudian masuk ke wilayah meja tamu. Ini bertujuan untuk membuktikan kamera ini milik orang dalam.

Di meja tetamu rupa-rupanya bukan Mat Najib seorang saja sedang duduk menunggu. Ada sebaris panjang individu lain bersama Najib sedang menunggu Trump. Semua duduk senyap dengan tangan di bawah meja saperti murid sekolah dalam ketakutan menunggu Guru Besar masuk.

Ada Mustapha Muhamad, ada Anifah Aman, ada Pak Duta malah pegawai keselamatan pun ada sama. Sebenarnya Trump mahu membuktikan kepada para pengkrtitk bahawa yang ditemuinya bukan hanya ‘penyamun tarbus’. Ada ramai lagi orang dari Malaysia yang ditemuinya termasuk Mat Beg Duit Roslan Sohari.

Bijak bestari rupanya Si Trump ini. Klip ini disiarkan lebih awal daripada klip rasmi. Ha ha… bijak Mat Trump menutup seluar koyaknya. Maka reda sadikit kritikan terhadap Najib.

Oppps… saya tersilap. Tidak ada yang reda-serangan diteruskan. Pada malamnya sesudah pertemuan Mat Najib dengan Presiden Trump ada berita ‘menggemparkan’ Amerika.

Najib Perdana Menteri Malaysia dan juga Presiden United Malays National Organisation yang memperjuangkan ketuanan Melayu telah menjadi bahan lawak seluruh Amerika.

Jimmy Fellon seorang pelawak dan penyampai berita tersohor dari stesen NBC – stesen TV nasional Amerika – telah mengambil klip pertemuan Najib dengan Trump. Suara Najib telah dialih untuk dijadikan bahan berita dalam rancangan The Tonight Show.

Dialog Trump dengan Najib telah diubah dan dijadi bahan lawak Amerika. Sah dan saheh Najib kali ini betul-betul menjadi Mat Lekeh.

Lawak Najib tular

Sayangnya klip berita NBC ini tidak difahami oleh Mak Cik Felda. Ahli-ahli parti ketuanan Melayu juga tak faham makna kutukan terhadap Najib melalui klip ini. Sayang sekali Lokman Adam dari pasukan pemikir Najib gagal menganalisis makna dan tanda klip ini.

Saya bukan ahli parti United Malays National Organisation. Jika saya ahli parti saya akan berhijrah ke Korea Utara untuk membuat roti canai sebagai bekalan kepada soldadu Korea Utara.

Ini tanda setia kawan saya untuk membantu Presiden Kim Jung-un dalam persediaan memerangi Presiden Trump.

Sebaik sahaja kapal terbang membawa Najib bergerak meninggalkan Amerika satu lagi ledakan berlaku. Ketika Najib dalam pesawat mahkamah di Los Angeles membuat keputusan membenarkan Department of Justice Amerika – DOJ – mengubah kes 1MDB – dari kes sivil ke kes jenyah.

Cisss. Ini betul-betul nasib baik. Kalau Najib ngelencong ke Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, saya rasa saman akan sampai. Kalau pun surat saman tak sampai pasti ada ratusan media dunia dan jurugambar yang akan ingin menemu bual Rosmah Mansor.

Media bukan ingin tahu rahsia berat badan Rosmah. Ini soalan kurang sopan. Jurugambar amat-amat gian untuk mengambil gambar Rosmah bergaya dengan rantai berlian merah jambu hadiah daripada Jho Low sambil menayangkan beg tangan Birkin. Gambar ini pastilah berlatar belakangkan banguan PBB di New York.

Silap hari bulan gambar Rosmah ini akan menjadi hiasan kulit majalah Le Grosse Dame. Majalah feshen paling popular dari Paris ini sama setaraf dengan The Vogue.

Pasti gambar Datin Seri Rosmah Mansor ini akan menjadi gambar klasik dunia. Akan tergantung disimpan hingga hari kiamat di Muzium Les Madame Fou – dipinggar kota Paris. Gambar Rosmah ini akan diapit oleh potrait lukisan Pemaisuri Marie Antoinette dan gambar Puan Ilmelda Marcos dengan kasut-kasutnya.

Di Kuala Lumpur para macai Parti Ketuanan Melayu sibuk mengatur Mak Cik dan Pak Cik Felda untuk datang menyambut kepulangan Najib dan Rosmah.

Seluruh tenaga media dikerah untuk membuat laporan kepulangan Najib dari Amerika. Heboh heboh heboh. Najib mahu digambarkan sebagai wira. Sama setaraf dengan Mahathir Mohamad dahulu.

Sebenarnya semua ini bertujuan untuk memadamkan dan mengalihkan pandangan orang ramai terhadap lawak-lawak Najib yang sedang menular.

Kisah Najib mahu menyelamatkan ekonomi Amerika telah menjadi bahan ketawa. Kesah Najib mahu membeli kapal terbang juga menjadi lawak. Malah ketiadaan sidang akhbar bersama Trump di Rumah Putih juga menjadi lawak besar. Najib ditularkan sebagai amat takut berhadapan dengan media Amerika.

Paling hina ialah apabila muncul berita tentang Najib telah membayar jutaan ringgit untuk dapat bertemu Presiden Trump. Cerita baksheesh suap duit kopi ini ini telah menular luas.

Lokman Adam (foto) dan pasukan pemikir bertungkus-lumus bekerja keras untuk memadamkan kesah lucu Najib ketika di Amerika ini. Imej Najib yang dirancang akan memuncak naik sepulang dari Amerika telah terbarai di pintu tandas.

Tup tup terpancar satu idea. Satu strategi politik yang bergeliga. Satu rancangan yang amat-amat hebat. Dirancang dengan kawalan ketat. Najib akan membuat satu sidang tergempar.

Sidang media tergempar Perdana Menteri Najib Razak pada Sabtu 17 September 2017 akan dijalan pada jam 4.30 petang di Tingkat 39 Menara Datuk Onn Pusat Dagangan Dunia Putra. Ini menjadi heboh. Heboh. Tegempar. Dari petang Jumaat 16 September seluruh Malaysia telah heboh.

Zahid Hamidi diarah membatalkan rancangan ke Perlis. Para Menteri dan pucuk pimpinan Parti Ketuanan Melayu diarah semua berkumpul ke bangunan PWTC. Heboh heboh heboh. Cerita Najib jumpa Trump tenggelam.

Kini semua tertanya-tanya. Pengumuman pilihan raya umum ke-14 ke? Najib akan umumkan penangkapan Jho Low ke? Apakah Najib akan mengumumkan parti Islam PAS akan masuk menjadi kerabat Barisan Nasional. Semua tertanya-tanya. Keadaan tenang tapi tegang. Apa agaknya akan terpancut dari mulut Najib?

Dongeng lapan YB

RTM, TV3, Tv Hijrah, Astro, NTV7 – semua memasang jaringan untuk siaran terus menerus. Semua media – dalam dan luar negara – dijemput datang. Ini termasuk laman portal yang dianggap sestengah orang anti-kerajaan seperti MalaysiaKini dan The Malaysian Insight – yang biasanya dilarang. Puluhan ahli parti ketuanan Melayu sedang mencacakkan talipon bimbit untuk siaran FB terus menerus. Tegang. Tegang.

Jam 4 petang masih belum ada apa apa. Pada jam 4.30 Najib sampai. Tiba-tiba arahan sampai. Media dilarang buat siaran langsung. MalaysiaKini dan The Malaysian Insight tak dibenar masuk.

Tiba-tiba semua berubah. Pucuk pimpinan United Malays National Organistion telah mula duduk. Zahid, Ku Nan, Sahahrizat, Saleh Kerouk – semua ada. Mereka bergaya dengan batik sutera. Hanya Najib memakai baju-T merah dengan lambang parti.

Jam 4.45 seorang jantan memakai baju berwarna biru terhegeh-hegeh muncul saorang diri. Jantan ini ialah Mat Taib bekas menteri besar Salangor. Dia berjalan menuju ke meja sidang akhbar. Najib TIDAK, saya ulangi sekali lagi …Najib tidak pun bangun dari kerusi untuk menyambut Mat Taib.

Ini bukan tohmah Hishamuddin Rais. Jika tidak percaya sila masuk ke YouTube dan lihat apa yang saya gambarkan ini.

Hakikatnya Najib kena kencing sekali lagi. Sidang media telah potong stim. Berita yang hendak diumumkan oleh Najib ialah Mat Taib telah rujuk kembali untuk menjadi ahli parti United Malays National Organisation.

Ciss! para pengamal media marah kerana mereka merasa ditipu. Para menteri yang membatalkan program mereka juga merasakan ini satu kerja bodoh.

Berita Najib dihina di Amerika padam untuk sementara. Lawak Najib nak pulihkan ekonomi Amerika terganggu sementara. Cita-cita Najib nak ‘songlap duit pencen KWSP’ tenggelam sabentar. Satu Malaysia heboh tentang berita Najib kena kencing oleh Mat Taib.

Untuk menyelamatkan dari kemaluan yang maha besar lalu dibocorkan cerita dongeng tentang adanya lapan orang YB dari Selangor yang akan ‘murtad’. Juga diberitakan bahawa satu kerajaan campuran baru akan diwujudkan di Selangor. Peranan penting akan dimainkan oleh bekas menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Dihebohkan bahawa kerajaan campuran baru di Selangor ini terdiri dari Pas, Umno dan Khalid Ibrahim. Apa terjadi? Kenapa Mat Taib seorang sahaja yang datang berjumpa Najib? Mana hilang para YB PAS? Di mana Khalid Ibrahim?

Pelbagai soalan timbul. Yang paling hendak diketahui ialah siapa sebenarnya Mat Taib a.k.a Mike Tyson ini? Tunggu minggu hadapan.

HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

– M’kini

.