SEJARAH BARU DI JOHOR, PPBM JADIKAN BN TIADA LAGI MAJORITI DUA PERTIGA

Ketika Muhyiddin Yassin serta Mukhriz Mahathir dipecat daripada UMNO dan kemudian Shafie Apdal meninggalkan parti itu beberapa bukan dahulu, perbualan ramai segera tertumpu kepada nasib Johor, Kedah dan Sabah dalam pilihanraya umum akan datang.

Dipersoalkan apakah melalui tindakan itu, UMNO dan BN dapat terus mengekalkan kuasanya di ketiga-tiga negeri tersebut?

Setelah beberapa bulan berlalu, dengan wujudnya PPBM serta ramai bekas pemimpin serta ahli UMNO Kedah sudah bertukar angin, negeri itu hampir pasti akan bertukar kerajaan lagi dalam PRU 14 nanti.

Di Sabah, melalui gelombang untuk mengembalikan kuasa kepada parti tempatan yang sedang digerakkan oleh Shafie Apdal bersama beberapa bekas pemimpin PKR dan DAP, tidak mustahil sejarah pemerintahan UMNO akan turut berakhir serta mengulangi sejarah sepertimana Usno, Berjaya dan PBS berkuasa dahulu.

Di Johor pula, walaupun geloranya tidak begitu kelihatan, sedar tak sedar sebenarnya satu sejarah baru telah tercatit melalui wujudnya PPBM yang diketuai oleh Muhyiddin dan dipengerusikan oleh Tun Mahathir Mohamad.

Dalam piliharaya 2013 lalu, daripada 56 kerusi DUN di Johor, 18 daripadanya dimenangi oleh parti-parti pembangkang atas nama Pakatan Rakyat.

Namun, setelah wujudnya PPBM dan Dr Shahruddin Md Salleh, Adun Jorak yang sebelum ini mengumumkan perletakan semua jawatannya UMNO serta semalam dilantik sebagai Setiausaha Agung parti itu, secara automatiknya telah menyebabkan kerusi pembangkang bertambah kepada 19 jumlahnya.

Dengan BN kehilangan satu kerusi, menjadi 37 daripada 38 sebelumnya dan pembangkang pula bertambah menjadi 19 kerusi, bermakna buat pertama kalinya dalam sejarah Johor menyaksikan UMNO dan BN di negeri itu tiada lagi kuasa majoriti dua pertiga sebagaimana ia berjaya dikekalkan selama ini.

Sejarah ini seharusnya menjadi perangsang dan tonik buat parti-parti pembangkang di Johor untuk meneruskan usaha dan kesepakatan bagi mencipta lebih kegemilangan dalam pilihanraya umum akan datang.

Melalui 19 kerusi yang sudah ada dalam genggaman, gabungan PPBM bersama Pakatan Harapan hanya perlu menambah minima 10 kerusi lagi untuk menyaksikan berakhirnya kuasa UMNO dan BN di Johor sebagai kenyataan.

Jika itu dapat diusahakan, Najib Razak dan skandal kewangannya akan turut tercatat dalam sejarah sebagai punca utama hilangnya kuasa UMNO di negeri di mana ia dilahirkan pada 1946 dahulu.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.