SEJARAH BAKAL TERCIPTA JIKA WAN AZIZAH KM PULAU PINANG – HASMI

Sejarah bakal tercipta sekiranya Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dilantik menjadi ketua menteri Pulau Pinang, kata penulis Hasmi Hashim.

Katanya, pembangkang pada 2008 telah membuat manifesto bahawa mereka akan menukar ketua menteri negeri itu setiap dua penggal.

“Kalau tanya (Ketua Menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng, dia menghormati Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Hasmi yang juga seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

“Jadi Dr Wan Azizah dah berapa tahun berjuang, betullah dia tu ahli parlimen, tapi dia tak pernah ada peluang untuk duduk di kerusi yang absah untuk melaksanakan dasar-dasar dan buah fikiran dia.

“Saya minta maaf mungkin agak tegang untuk kawan-kawan DAP, mungkin ada gentlemen setelah dua penggal, tak kan kamu (DAP) tak boleh selesaikan masalah laksanakan apa yang kamu nak laksanakan.

“Saya rasa ada keperluan (tukar ketua menteri Melayu), jadi sejarah lah kalau mulut saya masin, pintu langit terbuka, kalaulah Dr Wan Azizah jadi ketua menteri, dia jadi Melayu, wanita pertama yang jadi ketua menteri,” katanya.

Hasmi berkata demikian dalam forum “Ketua Menteri Melayu Pulau Pinang, ya atau tidak” di pejabat Malaysiakini malam tadi.

Sebelum itu beliau diajukan soalan siapakah yang calon ketua menteri Melayu yang paling layak untuk mentadbir Pulau Pinang.

Jelasnya, pembangkang khususnya Pakatan Harapan (HARAPAN) hanya mempunyai masa lebih kurang enam bulan sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) menyebabkan mereka perlu merangka strategik dengan lebih jitu.

“Jika tidak, saya bimbang HARAPAN kalah lagi, esok tukar nama lagi, tukar nama lagi dan tak berkesudahan, jika serius boleh fikir secara mendalam,” katanya.

Idea mengenai ketua menteri Pulau Pinang Melayu dibangkitkan oleh Hasmi dalam satu ruangan pojok di portal The Malaysian Insight.

Hasmi berkata sudah sampai masanya negeri itu perlu mempunyai seorang ketua menteri Melayu selain pada 2008 pembangkang juga telah menggunakan kempen PRU untuk mengehadkan jawatan ketua menteri sedia ada selama dua penggal.

Forum yang berlangsung kira-kira dua jam itu turut menampilkan panelis Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad, Penganalisis Politik Dr Maszlee Malik, Editor politik Fathi Aris Omar, NGO Muafakat Malaysia Yusmadi Yusoff dan moderatornya adalah Najwan Halimi.

image: https://i.malaysiakini.com/1164/b0b741aa2025d24f95cf9a6fd6fd5939.jpeg

Khalid pula berkata, isu mengenai siapa ketua menteri itu perlu dilihat dari segi sokongan majoriti terlebih dahulu dan ia baru boleh diputuskan kemudian.

“Yang terpenting Ketua Menteri Pulau Pinang mestilah pilihan majoriti rakyat, dan beliau boleh memperbaiki diri, telus, dan mementingkan kebajikan rakyat.

“Jika berusaha menjadi pemimpin yang adil, dia Melayu, bukan Melayu Insya-Allah orang akan terima,” katanya.

Bagi Fathi pula berkata, beliau melihat pembangkang gagal mengetengahkan isu Melayu di negeri itu dan hanya menyebut secara umum mengenai manifesto mereka menyebabkan berkurangnya undi bangsa itu.

Katanya lagi, pembangkang juga tidak menggunakan pendekatan seperti yang dilakukan oleh Umno demi menarik pengundi Melayu.

image: https://i.malaysiakini.com/1164/630ce56e347a00894e8f131bd38390f7.jpeg

“Pembangkang tak tekankan isu Melayu. Pembangkang tak adaptasi cara kaum seperti Umno buat yang sampai orang Melayu rasa tergugat, macam Umno dia buat sampai orang Melayu rasa kaum lain tak boleh wakili dia jadi, jadi orang Melayu yakin (dengan Umno).

“Pembangkang tak tawarkan pendekatan tapi hanya sebut ringkas iaitu mereka menjamin dasar Islam sebagai agama rasmi, Bahasa Melayu tapi tidak serancak macam Umno.

“Pembangkang jangan abaikan kaum, itulah yang lompong yang mengurangkan undi orang Melayu,” katanya.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/397553#KZ4Ocz00ajJVTWU9.99