SEGERA SIASAT SAYA: ANNUAR MUSA

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa meminta agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PDRM segera melakukan siasatan terhadapnya berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa.

Menerusi satu perkongsian dilaman Facebooknya, Ketua Penerangan Umno itu menegaskan beliau sudah bersiap sedia untuk memberi keterangan kerana yakin berada di pihak yang benar.

“Saya cadangkan agar PDRM dan SPRM segera menyiasat seperti yang pernah saya syor kepada Ahli Majlis Mara dalam grup WhatsApp minggu lalu.

“Perkhidmatan saya di Mara adalah satu amanah yang saya junjung tinggi. Pendirian saya dalam banyak perkara berkaitan tatakelola dan integriti memang tidak disenangi. Justeru saya sendiri tidak terkecuali,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai soal tajaan pasukan Kelantan yang dibangkitkan, katanya elok ianya disiasat badan bebas dan berwajib.

“Saya akan berikan sepenuh kerjasama insya-ALLAH,” katanya.

Terdahulu,  Sinar Harian melaporkan SPRM telah membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa Annuar.

Dalam satu kenyataan rasmi, SPRM berkata pihaknya akan berkerjasama dengan bahagian audit dalaman Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi menyiasat isu tersebut.

“Ingin ditegaskan bahawa siasatan SPRM hanya tertumpu kepada isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan penglibatan beliau dalam penajaan bola sepak Kelantan.

“Selain itu, siasatan berhubung salah tadbir urus pula akan dijalankan oleh pasukan audit dalaman Mara,” katanya di dalam kenyataan media.

Tan Sri Annuar Musa digantung dari jawatan Pengerusi Mara dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) berkuatkuasa serta merta kelmarin.

Annuar digantung tugas daripada jawatan tersebut berikutan daripada isu tajaan bola sepak oleh PMB buat skuad Kelantan.

Sementara itu, SPRM turut meminta agar tiada sebarang spekulasi dibuat sebelum berhubung siasatan kes tersebut.

“Semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan berikan ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan,” katanya lagi

– Sinar Harian

.