SEGERA BERSAMA PEMBANGKANG UNTUK LAWAN BN

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) mempelawa mana-mana parti segera untuk bersama pembangkang sebagai persediaan mendepani BN dalam pilihan raya umum akan datang .

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, kenyataan itu selari dengan pandangan pimpinan parti dalam Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, Amanah sendiri sejak hari pertama penubuhanya telah mengambil sikap untuk membuka pintu rundingan dan perbincangan dengan semua pihak demi kepentingan negara dan rakyat yang mahu melihat satu bentuk permuafakatan parti-parti pembangkang bagi menamatkan penguasaan BN.

“Kita menyaksikan betapa terbukanya pimpinan PKR menghulurkan salam permuafakatan.

“Terkini, DAP pula bersedia menerima Pas dalam gabungan pembangkang demi menyelamatkan negara yang dilanda krisis terbesar akibat salah guna kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kami (parti pembangkang) telah cukup terbuka dan telah menunaikan tanggungjawab besar bagi menyatukan parti-parti pembangkang.

Katanya, masa telah tamat dan kita tidak boleh berlengah untuk merangka strategi besar menghadapi BN dalam apa kemungkinan sekalipun. Pertengahan Februari adalah garis penamat untuk pakatan membuat keputusan muktamad.

“Amanah yakin dan percaya rakyat semakin faham dan boleh menjadi hakim bahawa parti manakah yang konsisten menolak meja perundingan dan parti manakah yang konsisten berpadu dan bermaufakat untuk menentang BN,” katanya.

– Sinar Harian

.