‘SEDARLAH IZZAH, SIAPA LAWAN SEBENAR BAPA ANDA’

Datuk Rizal Mansor menyarankan Nurul Izzah Anwar membuka mata dan memikirkan perbezaan penentangan bapanya pada era Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak.

Pegawai khas perdana menteri itu berkata demikian merujuk lawatan Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor ke atas bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 November lalu.

Menurut Rizal, jika dibandingkan keadaan Anwar ketika era Mahathir sebelum ini tentunya banyak perbezaan.

“Kata orang, satu gambar membawa seribu satu makna. Begitu juga gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan isteri melawat Anwar di hospital yang mendapat 1001 reaksi berbeza segenap lapisan masyarakat.

“Jika dibandingkan keadaan Anwar ketika lawan Mahathir suatu masa dulu dengan ketika ini menentang Datuk Seri Najib, tentunya ada banyak bezanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut Rizal merujuk keadaan Anwar ketika penentangan pemimpin gerakan reformasi itu pada era Mahathir.

“Yang kita nampak mata lebam Anwar ketika era lawan Mahathir.

“Hari ini, Anwar tidak lagi bermata lebam dan ketika masuk hospital untuk rawatan, beliau terima lawatan Datuk Seri Najib,” katanya.

Rizal menyarankan anak-anak Anwar khususnya Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah supaya membuka mata dan memikirkan perbezaan antara era  Najib dan era Mahathir.

“Itu belum termasuk kesanggupan Datuk Seri Najib untuk meredah banjir di Pulau Pinang walaupun para pengundi di Pulau Mutiara itu secara majoritinya menyokong DAP.

“Sedarlah Nurul Izzah, siapa lawan sebenar bapa anda walaupun kini Nurul Izzah boleh terima orang yang pernah menjatuhkan bapanya untuk bekerjasama demi kuasa dan survival politiknya,” jelasnya.

Semalam Anwar turut dikunjungi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar kini dirawat di hospital selepas menjalani pembedahan di bahu, Ahad lalu.

– M’kini

.