SECARA SINIS, DR MAHATHIR MENGAKU JADI ‘DIKTATOR’

DALAM nada penuh sinis, Dr Mahathir Mohamad mengejek pengkritiknya yang menggelarkan beliau seorang diktator selama 22 tahun menjadi perdana menteri.

Catatan terbaru itu dikeluarkan ketika Pakatan Harapan sedang bersiap sedia mengadakan jelajah seluruh negara mempromosikan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri mereka- keputusan yang menerima kecaman hebat sebahagian pihak termasuklah penyokong kuat pembangkang.

“Rakyat dan media tak pernah gagal mengingatkan yang saya seorang diktator. Saya menerajui kerajaan autokratik Malaysia selama 22 tahun,” katanya dalam catatan terbaru blognya, chedet.cc.

“Setiap kali nama saya disebut mesti didahului atau diikuti dengan kelayakan (gelaran) ‘diktator’.”

Dalam nada sinis, Dr Mahathir kemudiannya menyenaraikan beberapa misalan betapa tindakannya dianggap autokratik sejak 1981 hingga 2003 beliau mentadbir negara.

Ini termasuklah penahanan kontroversi Ops Lalang melibatkan 106 aktivis dan politikus pada 1987 serta pemecatan Ketua Hakim Negara Salleh Abbas pada 1988.

Aktivis hak asasi seringkali menggunakan dua kejadian itu sebagai misalan agung pemerintahan kuku besi pemimpin berusia 92 tahun itu.

Bekas Ketua Polis Negara Hanif Omar secara terbuka mengatakan Ops Lalang adalah keputusannya.

“Dah tentu tak betul. Saya buat keputusan untuknya dan arahkan seramai mungkin orang ditahan dan diseksa. Jika dia nafikan pastinya sebab dedak. Tapi dia nampaknya tak suka dedak,” tulis Dr Mahathir.  

Bekas Peguam Negara Abu Talib Othman yang berkhidmat semasa pentadbiran Dr Mahathir pula secara terbuka mengatakan Yang DiPertuan Agong sebenarnya bertanggungjawab memecat Salleh.

“(Abu Talib) baru-baru ini mengisytiharkan yang saya tak bertanggungjawab ke atas pemecatan Tun Salleh Abas. Ini juga pastinya tak betul.

“Semua orang nampak bagaimana saya jerut leher Salleh Abas dan campak dia keluar dari mahkamah. Saya tak tahu mengapa Abu Talib perlu nafikan tanggapan popular ini. Mungkin saya beri dia dedak juga. Saya tak ingat.”

Misalan lain “kelakuan diktatornya” termasuklah permintaannya untuk mempunyai pasukan keselamatan yang lebih besar, arahannya supaya tiada sekolah atau jalan dinamakan sempena namanya serta pembebasan tahanan politik.

“Sebaik sahaja dilantik sebagai perdana menteri saya mengarahkan pembebasan 21 orang tahanan politik yang ditahan perdana menteri sebelum saya,” tulis Dr Mahathir.

“Pembebasan ini pastinya juga tradisi diktator. PM demokratik sebelum ini tak bebaskan sebarang tahanan. Malah mereka tambah lagi tahanan kerana itulah perkara demokratik yang (perlu) dilakukan.”  

Dr Mahathir juga menyebut tentang bagaimana isterinya Siti Hasmah Mohd Ali bergaya seperti seorang isteri diktator dengan memakai barangan kemas dan bag tangan mewah, serta bagaimana dia membuatkan anak-anaknya kaya raya dengan memberikan mereka kontrak kerajaan.

“Tak payah cakap panjang lebarlah, kerana selaku diktator sebenar saya putuskan untuk letak jawatan. Semua diktator buat begini (letak jawatan).  

“(Diktator Jerman) Adolf Hitler dan (pemimpin fasis Itali) Benito Mussolini malangnya mati sebelum mereka letak jawatan. Franco dari Sepanyol dan Salazar dari Portugal pula hampir nak letak jawatan tetapi mati dahulu.

“Tetapi saya bertuah. Saya letak jawatan sebelum mati. Ini mengesahkan yang saya seorang diktator sejati. Saya arahkan beberapa menteri untuk memujuk saya dan menangis bila saya buat pengumuman (letak jawatan).”

– https://www.themalaysianinsight.com

.