SEBUTAN SEMULA KES BUNUH KIM JONG-NAM HARI INI

Dua warga asing yang menghadapi pertuduhan membunuh Kim Chol, atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un yang hidup terasing daripada adiknya itu, akan sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Sepang hari ini.

Kes berprofil tinggi tu ditetapkan untuk sebutan semula hari ini bagi pihak pendakwa raya dan peguam bela kedua-dua tertuduh memberi taklimat kepada mahkamah berhubung perkembangannya.

Pada 1 Mac, warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, dihadapkan di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh Kim Chol, 45, bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada kira-kira 9 pagi, 13 Februari tahun ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pada prosiding sebelum ini, pemberita yang masuk ke dalam bilik mahkamah tidak dibenarkan membawa sebarang peralatan elektronik termasuk telefon bimbit.

Mereka juga perlu melalui pemeriksaan badan dan empat imbasan oleh polis sebelum dibenarkan masuk ke bilik mahkamah.

Dilaporkan Jong-nam berada di klia2 pada 13 Februari untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita menghampirinya dan tiba-tiba menyapu mukanya dengan cecair toksik yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Jong-nam, yang melakukan perjalanan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. Beliau datang ke Malaysia pada 6 Februari.

Pada 31 Mac, pengamal media yang telah berkampung di depan Institut Perubatan Forensik Negara sejak 15 Februari, melihat sebuah van yang mereka syaki membawa mayat Jong-nam, keluar dari premis itu pada 1.40 tengah hari.

Koroner telah meluluskan pengeluaran mayat itu susulan autopsi sudah selesai dan menerima surat daripada keluarganya yang memohon mayat dihantar pulang ke Korea Utara.

– Bernama