‘SEBELUM ULAS, FAHAMI SEPENUHNYA MAKSUD HADI’

Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Wan Ji Wan Hussin perlu memahami sepenuhnya pandangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu calon perdana menteri, kata Setiausaha PAS Sarawak Mukhtar Suhaili.

“Bacalah tulisan penuh beliau dengan rasa keimanan dan semangat Islami.

“Ia menjelaskan konsep bernegara dan kepimpinan Islam termasuk dalam hubungan masyarakat majmuk dan waqi’ (keadaan semasa) Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook.

Terdahulu, Wan Ji menyifatkan pandangan presiden PAS itu bahawa tindakan melantik calon perdana menteri tidak selari dengan amalan Nabi Muhammad sebagai tidak konsisten kerana beliau sendiri dikatakan pernah mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon pilihan PAS untuk menjadi perdana menteri ketika pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Menyifatkan pandangan Abdul hadi itu sebagai bahaya dan boleh mengelirukan, Wan Ji (gambar) juga berkata ulama’ secara umum melihat politik Islam berasaskan kemaslahatan rakyat.

“Soal pencalonan awal adalah isu melibatkan kemaslahatan rakyat semasa berhadapan kebejatan BN…tindakan Pakatan Harapan (HARAPAN) berhadapan dengan kebejatan Datuk Seri Najib Razak dan BN tidak bercanggah dengan roh adab ajaran Rasulullah,” kata Wan Ji.

Mukhtar menyifatkan Wan Ji sebagai “sangat kurang adab”, terutama berhubung kenyataannya yang mendakwa pandangan agama Abdul Hadi sebagai tidak konsisten dan bahaya.

Katanya lagi, pandangan Abdul Hadi perlu dibaca dan difahami secara keseluruhan, antaranya berkenaan sikap PAS yang mencontohi Nabi Muhammad dalam soal tidak mengejar jawatan.

Apa yang dinyatakan Abdul Hadi, katanya lagi, adalah kepentingan untuk berjuang menegakkan Islam dan menyerahkan kepada Tuhan dalam soal siapa yang diangkat menjadi pemimpin.

“Ia (pandangan Abdul hadi) menyebut pendirian PAS yang ‘tidak mendahulukan’, maksudnya tidak mengutamakan perkara itu buat masa ini kerana banyak lagi keutamaan lain seperti yang disebut dalam artikel itu,” katanya lagi.

Selain itu, Abdul Hadi dalam kenyataannya 22 Disember lalu turut memetik sirah Nabi Muhammad, yang ketika ditanya Ketua Kabilah Bani Amir yang ditawarkan kemenangan Islam berhubung siapa ketua negaranya, Baginda menjawab perkara itu adalah urusan Allah yang menentukan kehendak-Nya.

“Maka PAS tidak mendahulukan pembentukan Kabinet atau melantik siapa bakal perdana menteri yang bakal menjadi bangkai sahaja. Inilah adab yang diajar oleh Rasulullah,” katanya.

Walaupun tidak menyebut mana-mana pihak, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada HARAPAN yang bakal mengumumkan calon perdana menterinya bulan depan.

– M’kini

.