“Ini hanyalah cerita rekaan daripada pihak pembangkang kerana mereka takut kepada perpaduan UMNO, jadi mereka ingin mewujudkan perpecahan supaya timbul keraguan dalam kalangan ahli parti.

“Saya yakin tiada siapa dalam UMNO yang percaya dengan helah ini. Kita yakin UMNO akan terus kukuh di bawah kepe­mimpinan Najib sebagai Presiden parti dengan sokongan Ahmad Zahid,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Khatan Perdana di Dewan Sebertak di sini, hari ini.

Sejak kelmarin, tersebar secara meluas surat palsu kononnya di­tulis Timbalan Perdana Menteri dan antara kandungannya adalah desakan agar Najib berundur da­ripada kerajaan, selain tuntutan agar beliau segera melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Menurut Ismail Sabri, hubu­ngan antara Ahmad Zahid dan Perdana Menteri amat akrab sejak sekian lama yang melangkaui hubungan dalam pekerjaan termasuk semasa Najib menjadi Ketua Pemuda UMNO.

Dalam pada itu, beliau berkata, perpaduan dalam kalangan ahli UMNO pada masa ini dilihat semakin kukuh selepas keluarnya kumpulan yang menjadi gunting dalam lipatan kepada parti.

Keadaan itu, kata beliau, membuatkan pembangkang semakin risau dan goyah apatah lagi untuk berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-14 yang semakin hampir.

“Sudah tidak ada musuh dalam selimut, UMNO menjadi semakin kukuh kerana tidak ada lagi perkara berkaitan tikam daripada belakang dan lain-lain,” katanya.