‘SEBAGAI ‘TUAN’ DI MALAYSIA, MELAYU ADA ISTIMEWANYA’

SHAH ALAM – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, sistem kuota yang dikhususkan untuk masyarakat Bumiputera di Malaysia bukan satu penghinaan kepada Bumiputera mahupun Melayu.

Sebaliknya, ujarnya, ‘ia adalah hak seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak perlu dipertikaikan’.

“Sebagai ‘tuan’ di negara sendiri Bumiputera / Melayu sememangnya berhak menikmati kesitimewaan itu sepanjang zaman sekali pun meski kita sudah berjaya merapatkan jurang antara kaum di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang dipetik sebagai berkata ‘sistem kuota hina orang Melayu’.
Memetik satu laporan sebuah portal, Khairy berkata, orang Melayu perlu melihat sistem kuota sebagai penghinaan kepada kaum itu.

Mengulas lanjut, Sohaimi berkata, buat masa ini berdasarkan komposisi kaum, Bumiputera/Melayu yang majoriti di negara ini hanya 30 peratus sahaja kuota berbanding kedudukan Bumiputera Melayu di negara ini iaitu, 65 peratus.

“Selebihnya 70 peratus dari kouta yang ditetapkan milik siapa? Hari ini Bumiputera / Melayu masih lagi ketinggalan,” katanya.

Katanya lagi, tidak dinafikan hari ini jutawan Bumiputera / Melayu sudah bertambah. Namun jika diukur dari segi komposisi kaum kita masih lagi tertinggal dan masih belum mencapai 30 peratus.

“Kuota dalam sistem pendidikan di universiti awam misalnya, saya kira tidak mempunyai masalah kepada bangsa lain kerana kita juga mempunyai banyak pusat pengajian tinggi swasta, dari segi komposisi kaum,

Bumiputera / Melayu teramatlah minoriti di universiti swasta,” katanya.

Justeru, jelas beliau sistem kuota yang wujud kini tidak mempunyai masalah dan tidak menghina mana-mana kaum.

– SH