SAYANG DR MAHATHIR, TETAPI PENGUNDI KUBANG PASU MASIH PILIH UMNO

PEMIMPIN akar umbi Umno di bekas perwakilan Dr Mahathir Mohamad di Kubang Pasu, Kedah walaupun masih menyanjung tinggi bekas perdana menteri itu, tetapi masih meletakkan parti mereka melebihi segalanya.

Rata-rata ahli Umno yang ditemui The Malaysian Insight berkata mereka tidak pernah melupakan jasa Dr Mahathir yang mengubah landskap Kubang Pasu ketika menjadi ahli Parlimen di kawasan itu sejak 1974 hingga 2004.

Namun akui mereka rasa sayang dan hormat kepada perdana menteri yang berkhidmat selama 22 tahun itu tidak sesekali melebihi kesetiaan mereka terhadap Umno.

“Walau apa juga berlaku, walau apa jua keadaan kita tetap menghormati Dr Mahathir sebagai rakan dan bekas pemimpin cuma sekarang ini kita berbeza perjuangan dalam parti, beliau berada di sebelah sana (pembangkang),” kata ahli jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kubang Pasu, Saiful Nizam Mahmud.

Malah jika bertembung dengan bekas perdana menteri itu yang kini mengetuai Pakatan Harapan (PH) pemuda berusia 37 tahun itu mengakui tidak mempunyai masalah untuk bertegur sapa dan bersalaman dengan Dr Mahathir.

“Kalau jumpa memang tidak ada masalah kita boleh sahaja bersalam dan bersembang walau perjuangan kita berlainan.Bagaimanapun kita tetap setiia dengan parti kita ini kalau kita toreh (badan) kita keluar darah pun boleh nampak darah Umno, punya nak cakap perjuangan kita memang sentiasa dengan Umno,” katanya.

Seorang lagi Pewakilan Kubang Pasu, Che Royah Abdullah, 66,  turut mempunyai sentimen sama sekaligus mengakui pengaruh Dr Mahathir walau tidak banyak tapi masih boleh dilihat.

“Dr Mahathir ini ramai sayang dia di Kubang Pasu, tapi memang sayang bila keluar parti, kita memang sedih (sebab) kalau dia masih dalam Umno, ramai yang sayang dia. Dia banyak buat pembangunan dekat Kubang Pasu,” katanya yang tinggal di Kampung Gelung.

Beliau berkata antara jasa yang dilakukan Dr Mahathir ialah menjadikan Kubang Pasu sebagai pusat pendidikan dengan membina universiti dan politeknik.

“Memanglah ramai sayang dia, anak dia pun Mukhriz orang Kedah memang sayang. Mukhriz ini tak kedekut, kebajikan sekolah pondok pun dia jaga. Dia selalu turun ke sekolah pondok, memang baguslah dia, Orang PAS pun ramai sayang dia,” kata wanita itu yang bertutur dengan loghat Kedah pekatnya.

Saad Abdullah kecewa dengan tindakan Dr Mahathir sertai pembangkang apatah lagi kerjaya politik bekas perdana menteri itu bermula di Kubang Pasu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 Ogos, 2017.
Saad Abdullah kecewa dengan tindakan Dr Mahathir sertai pembangkang apatah lagi kerjaya politik bekas perdana menteri itu bermula di Kubang Pasu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 Ogos, 2017.

Beliau turut mengakui pengaruh Mukhriz juga merupakan punca Barisan Nasional berjaya merampas kembali Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13).

“Tapi walau macam mana pun sekarang ini saya memang memihak pada parti. Saya masih setia dan sokong parti saya. Dan saya juga tidak mempercayai segala dakwaan Dr Mahathir kepada Najib sebab dia dah biasa sangat buat begitu,” katanya.

Hafizul Zahari Othman, 36, dari Umno Cawangan Taman Mahsuri akur dengan istilah “hero datang dan pergi” merujuk kepada perbuatan bekas perdana menteri itu yang beralih kepada pembangkang.

“Selama 22 tahun, sumbangannya amat banyak bersama dengan Siti Hasmah. Kenangan itu masih ada dan kita memang hormat dia tetapi parti tetap utama, kita akan mempertahankan parti tidak kira apa berlaku.

“Memang dia masih ada pengaruh sebab budak yang umur 15 tahun pun kenal dia,” katanya yang tidak pernah melupakan jasa Dr Mahthir di Kubang Pasu.

Namun beliau berkata pengaruh yang ada pada Dr Mahathir di Kubang Pasu tidak akan menjejaskan kemenangan Umno di kawasan Parlimen itu kerana pengundi kini semakin matang dan tidak akan tertipu dengan permainan politik bekas perdana menteri tersebut.

“Parti sentiasa jadi yang pertama. Keutamaan kita sentiasa pada Umno dan Melayu,” katanya.

Ketua Cawangan Kampung Lembah Arang Bahagian Kubang Pasu, Saad Abdullah, 65, berkata beliau tidak boleh membohongi dirinya yang kecewa apabila Dr Mahathir bertindak keluar daripada parti memandangkan kerjaya politiknya bermula di kawasan itu.

“Dulu apa yang dia cakap sekarang dah kena dekat dia.Dia selalu cakap Melayu mudah lupa, akhirnya dia yang mudah lupa. Kami memang kecewa kerana kami ini ahli Umno yang tulen, kami memang beri sokongan kepada kerajaan.”

Naib Ketua Puteri Umno Kubang Pasu, Nor Azura Mohamad pula yakin Kubang Pasu masih mengundi Umno pada PRU14 nanti. – Gambar The Malaysian Insight  oleh Hasnoor Hussain, 20 Ogos, 2017.
Naib Ketua Puteri Umno Kubang Pasu, Nor Azura Mohamad pula yakin Kubang Pasu masih mengundi Umno pada PRU14 nanti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 Ogos, 2017.

Sama seperti yang lain, Abdullah berkata akan sentiasa mengingati jasa Dr Mahahtir yang membangunkan Kubang Pasu sebagai kawasan perindustrian, mewujudkan pusat pendidikan dan membina lebuh raya meski beliau tidak lagi menjadi ahli Parlimen di situ.

Sementara itu Naib Ketua Puteri Umno Kubang Pasu, Nor Azura Mohamad, 34, yakin bahawa Umno akan meneruskan kejayaan memenangi kerusi di Kubang Pasu meskipun tanpa pengaruh Dr Mahahtir.

Katanya ia dapat dilihat daripada majoriti peratusan pengundi yang tinggi di Kubang Pasu semasa pilihan raya lalu.

“Bersatu di Kubang Pasu tidaklah kuat mana pun. Insyallah tidak menjejaskan kami. Sebab kalau kita tengok Johari Baharom mempunyai 10,000 majoriti dan sekarang pula kita ada tambahan 5,000 pengundi.

“Kita boleh menang jika  peratusan itu dikekalkan cuma yang 5,000 itu kita tak pasti mereka ini akan sokong siapa, tapi setakat ini dari kajian kami memang kami yakin boleh menang.” katanya yang berada dalam sayap puteri selama 15 tahun.

Dr Mahathir merupakan bekas ketua Umno Bahagian Kubang Pasu daripada 1974 sehingga 2004. Sepanjang tempoh itu, Kubang Pasu menjadi antara hab pendidikan di negara ini bermula dengan Universiti Utara Malaysia (UUM), diikuti dengan penubuhan Kolej Matrikulasi Kedah, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Darulaman (IPGMKD), Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Polimas) dan Kolej Komuniti Bandar Darulaman.

Beliau mula bertanding di Kubang Pasu pada Pilihan Raya Umum 1974 dan menang tanpa bertanding sebelum berundur untuk memberi peluang kepada Timbalan Menteri Pertahanan Mohd Johari Baharom pada 2004.

Sebelum ini di Persidangan Pewakilan Pemuda Umno Kubang Pasu, Naib Ketua Pemuda Khairul Azwan Harun berkata untuk melawan Dr Mahathir ia harus bermula dari Kubang Pasu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.