SAYA TIDAK PERNAH LABEL DR M ‘MAHAFIRAUN’, KATA KIT SIANG

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah seteru politik sejak berdekad-dekad tetapi mulai tahun lalu, kedua-dua mereka bergandingan dalam gabungan pakatan pembangkang.

Namun bagi Lim, sepanjang perseteruan pahit mereka itu, beliau tidak pernah melabel bekas perdana menteri itu sebagai ‘Mahafiraun’ atau ‘Mahazalim’ .

“Bukan menjadi rahsia bahawa Mahathir dan saya mempunyai banyak perbezaan sepanjang 22 tahun pentadbirannya sebagai perdana menteri, dan (anak saya) Lim Guan Eng serta saya menjadi ‘tetamu kerajaan’ Duli Yang Maha Mulia semasa Ops Lalang hampir 30 tahun sebelum ini.

“Tetapi saya tidak pernah bersikap peribadi atau berdendam – saya tidak pernah memanggil Mahathir sebagai Mahafiraun atau Mahazalim – kerana perbezaan kami sentiasa mengenai dasar dan tindakan kerajaan,” kata Lim malam tadi.

Kehadiran Mahathir sebagai anggota pembangkang masih tidak dialu-alukan oleh sesetengah seteru masa lalu, yang mahu beliau memohon maaf atas tindakan lampaunya itu.

Dalam satu wawancara dengan Malaysiakini pada 14 September Mahathir dilaporkan berkata “jika kita bercakap mengenai rasa kesal dan maaf, kedua-dua pihak perlu melakukannya bersama.”

Menurutnya, lawannya juga harus meminta maaf kerana melabelnya sebagai Mahafiraun dan Mahazalim.

Bercakap pada majlis makan malam DAP di Pelabuhan Klang, Selangor, Lim berkata beliau dan Mahathir kini bergabung dengan matlamat lebih besar untuk “menyelamatkan Malaysia daripada kleptokrasi.”

– https://www.malaysiakini.com

.