‘SAYA TELAH SEMPURNAKAN TANGGUNGJAWAB SEBAGAI MUSLIM’

Azwan Ali berkata beliau hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini bagi menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim.

Selebriti itu turut menafikan tindakan menyerahkan dakwaan rasuah melibatkan abangnya Datuk Seri Azmin mempunyai unsur politik.

“Saya telah serahkan dokumen bukti kepada SPRM. Saya percaya SPRM akan menyusul tindakan mereka kerana semua tahu SPRM bukan politik.

“Tidak ada istilah politik di dalam kehadiran saya, ia hanyalah untuk membantu serta memberikan kerjasama atas proses siasatan yang sedang dijalankan (SPRM).

“Saya sebagai umat Islam saya cuba sedaya upaya menyempurnakan tanggungjawab saya untuk memperbetulkan situasi-situasi yang semakin mencurigakan.

Amar makruf nahi mungkar (menyuruh pada kebaikan dan mencegah kemungkaran). Berdirinya saya di sini kerana berpegang teguh sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab demi agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.

Selepas berikrar “menjahanamkan” Azmin dalam perhimpunan agung Umno lalu, Azwan hari ini menyerahkan dokumen yang didakwa membuktikan amalan rasuah dan kemewahan melampau abangnya.

Selepas ugutan itu, Azmin pada 7 Disember lalu berkata beliau hanya “mempersetankan” semua itu.

Azmin berkata, beliau berada dalam perjuangan “bukan kerana bicara soal keluarga”, tetapi rakyat dan negara.

‘Dakwa terima tahniah pemimpin pembangkang’

Sementara itu, Azwan turut mendakwa menerima panggilan daripada pemimpin pembangkang yang mengucapkan tahniah susulan tindakannya itu.

“Semalam, saya menerima panggilan bertalu-talu daripada pemimpin-pemimpin pembangkang yang mengucapkan tahniah kepada saya.

“Saya juga tahu ramai yang mencaci hina saya, kata pendedahan saya sebab PRU14. Ini semua kerana Allah.

“Saya buat ini untuk Allah. Tiada siapa paksa saya. Benda ini (nak serahkan bukti) saya dah berdoa sejak saya balik umrah Julai lalu.

“Enam bulan saya tunggu (sebelum serahkan bukti pada SPRM),” katanya lagi.

– M’kini

.