Saya tak takut gagal, kata Muhyiddin

SHAH ALAM – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui usaha untuk menyatukan parti-parti pembangkang bukan sesuatu yang mudah.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak sesekali takut atau memikirkan sama ada usaha itu akan menemui kegagalan.

“Bagi saya ini satu cabaran. Jika Bersatu boleh berperanan sebagai satu parti politik dan saya dianggap sebagai penghubung atau faktor yang boleh mengikat hubungan silaturahim (pembangkang) demi tujuan yang baik, saya sanggup.

“Saya tidak takut kalau saya gagal. Lebih baik saya gagal setelah saya berusaha daripada gagal tanpa berbuat apa-apa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, beliau yakin usaha Bersatu untuk menjadi orang tengah dan menyatukan pembangkang akan berjaya berpandukan reaksi positif diterima dalam pertemuan dengan pemimpin-pemimpin parti pembangkang lain.

“Dalam pertemuan terbaru dengan Pas, nampaknya mereka bersedia dengan kerjasama itu. Cuma perlu disusun lagi apa cabaran dan bentuk kerjasama serta isu-isu berkaitan.

“Di sebelah sini (dengan PKR, Amanah dan DAP) kami tiada masalah nak membentuk penyatuan besar. Ada usaha yang kita teruskan dan kita harap akhirnya kata sepakat itu dapat dicapai dalam apa juga bentuk,” katanya.

Muhyiddin berkata, harapan rakyat yang mahukan perubahan menjadi sebab utama beliau akan terus berjuang melalui Bersatu.

“Apa yang saya lakukan sekarang ini tak pernah saya mimpikan dalam sejarah perjuangan politik saya selama 45 tahun. Tetapi semuanya demi satu matlamat, iaitu untuk selamatkan Malaysia.

“Jika matlamat ini dikongsi oleh rakyat, kita tak boleh menggagalkan cita-cita mereka dan berharap kepada pemimpin sedia ada.

“Kita kena cuba, kerana pergi ke mana-mana rakyat suarakan kebimbangan. Mereka tidak mahu negara yang gagal dengan pemimpin korup dan kemungkaran berleluasa,” katanya.

– Sinar Harian

.