SAYA TAK PERNAH DITAWARKAN SOGOKAN: KAMARULZAMAN

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Kamarulazman Habibur Rahman menyifatkan dakwaan beliau menerima sogokan untuk keluar parti sebagai tidak masuk akal.

Beliau yang juga bekas pengasas Bersatu berkata, tidak pernah dihubungi mana-mana individu untuk ditawarkan sogokan tersebut.

“Agak melucukan apabila kita nak keluar parti ada pihak menawarkan RM5 juta, RM12 juta dan mungkin esok jumlahnya bertukar-tukar. Ketika di Bersatu sebelum ini kami menentang parti memerintah ketika ini dengan ceramah-ceramah untuk hentam mereka.

“Tiba-tiba kami nak keluar parti sebab dapat tawaran daripada parti yang kami kritik, itu tidak masuk akal. Kita boleh fikir dengan fikiran waras sama ada ini satu realiti atau fitnah,” katanya kepada media hari ini.

Dalam sidang media Isnin lalu, Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa Kamarulazman sebagai salah seorang pimpinan tertinggi Bersatu yang ditawarkan sogokan untuk meninggalkan parti.

Selain Kamarulazman, nama pemimpin lain yang disebut ialah Datuk Hamidah Osman dan Anina Saadudin.

Syed Saddiq mendakwa, rangkaian dedak sistematik itu didalangi seorang individu bernama H di sebuah kementerian.

Sehubungan itu, Kamarulazman berkata, beliau telah membuat laporan polis hari ini terhadap kenyataan Syed Saddiq itu.

“Dakwaan Syed Saddiq ini berniat jahat dan bertujuan mencemarkan nama baik saya. Ia telah menimbulkan kesan buruk terhadap keluarga dan saya sendiri sebagai seorang pegawai di pejabat pendidikan daerah

“Jika benar Syed Saddiq mempunyai bukti bahawa sogokan telah diberikan kepada saya dan individu lain yang disebutnya, beliau perlu menunjukkan bukti tersebut kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Beliau juga memberi tempoh tujuh hari kepada Syed Saddiq bermula hari ini untuk mengemukakan bukti.

“Jika gagal berbuat demikian, saya tidak akan teragak-agak untuk memfailkan saman terhadap beliau,” katanya.

– Sinar Harian

.