SAYA TAK MINAT KERUSI GOMBAK, KATA DR MAHATHIR

PENGERUSI Bersatu Dr Mahathir Mohamad tidak berminat dengan kerusi yang ditawarkan Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali untuk ditandingi calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dr Mahathir berkata, beliau tidak terfikir untuk bertanding di Parlimen Gombak, sebaliknya hanya memilih antara kerusi Parlimen Langkawi, Kubang Pasu dan Putrajaya.

“Terima kasih banyak tetapi saya sudah buat keputusan di antara tiga kerusi ini.

“Kita belum bincang kerusi di mana. Pilihan saya ialah di Langkawi atau pun Kubang Pasu dan Putrajaya, saya belum terfikir mengenai Gombak lagi,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas perasmian Bahagian Bersatu Setiawangsa, di Keramat, malam tadi.

Sementara itu pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar memuji niat Azmin namun mengatakan terdapat proses perundingan antara parti dan pertimbangan antara parti.

“Sebagai tentera, tiada tempat duduk yang benar-benar milik mana-mana daripada kita,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau bagaimanapun berkata tawaran Azmin itu menunjukkan perpaduan dan pengorbanan memang mengharukan.

Katanya sekiranya terdapat keperluan untuk itu, ia akan dibincangkan secara tertutup.

Azmin melalui laman Twitternya sebelum ini menawarkan kerusi Parlimen Gombak untuk ditandingi Dr Mahathir sekiranya dipersetujui oleh PKR.

“Saya sedia memberi laluan kepada Dr Mahathir di Parlimen Gombak sekiranya dipersetujui oleh PKR,” kata menteri besar Selangor itu.

Azmin juga berkata dalam satu kenyataan bahawa Dr Mahathir boleh menjadi calon yang baik di Gombak.

“Walaupun saya menang dengan margin kecil 52% undi, ini adalah kerusi majoriti Melayu dan menjadi kubu kuat Umno selama beberapa dekad. Saya percaya Dr Mahathir boleh menarik lebih banyak undi di kalangan pengundi Umno dalam PRU14,” katanya.

Dr Mahathir dan presiden PKR dipilih sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri PH sekiranya pakatan pembangkang itu memenangi pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun PKR Selangor menolak pelantikan itu dan mendakwa ia bertentangan dengan gerakan Reformasi.

Kerusi negeri yang disandangnya turut menjadi sasaran ketua Umno bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos yang sebelum ini berkata beliau akan mencabar menteri besar Selangor itu di mana-mana kerusi di Selangor, sekiranya beliau dipilih untuk bertanding pada PRU14.

Jamal juga berkata, beliau mampu bekerja dengan lebih baik sebagai menteri besar berbanding Azmin.

Terdahulu Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor Johan Abdul Aziz berkata tindakan menteri besar itu hanya wayang semata-mata dan ingin mencari alasan untuk lari daripada kegagalannya berkhidmat kepada penduduk di situ.

“Saya lihat ramai penduduk di Parlimen Gombak bersungut kerana diabaikan kepimpinan Mohamed Azmin sehingga ada kawasan yang tidak pernah dilawati beliau. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar pula yang terpaksa turun ke kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan Parlimen itu bagi mengatasi masalah bumbung rosak dan sampah,” katanya.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Mohd Zuhdi Marzuki juga berkata tindakan Azmin menawarkan kerusi Gombak kepada Dr Mahathir Mohamad mempunyai “matlamat tersirat”

Zuhdi dilaporkan berkata Azmin takut kalah di Gombak dan lebih rela Dr Mahathir tewas di kerusi itu.

“Saya tak tahu apa matlamat tersirat Datuk Seri Azmin untuk dia melepaskan kerusi Gombak.

“Cuma saya boleh sebut bahawa kerusi Gombak tidak selamat bagi PKR berdasarkan kita punya kajian dan analisis apabila berlaku tiga penjuru,” katanya.

Azmin merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa dan Parlimen Gombak.

– https://www.themalaysianinsight.com

.