‘SAYA TAK MAHU GADUH DENGAN KHIR TOYO, JANGAN LAGAKAN’

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempertahankan kenyataannya berhubung sebab kekalahan BN Selangor pada pilihan raya umum sebelum-sebelum ini.

Bagaimanapun, Tengku Adnan berkata, beliau tidak mahu bergaduh dengan bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo yang dipersalahkan sejak 2008.

“Tak apalah. Saya sebagai setiausaha agung, saya ada analisis (punca kekalahan). Tiap-tiap negeri saya tahu apa yang berlaku.

“Saya pun tidak mahu bergaduh dengan Khir Toyo. Janganlah lagakan saya dengan Khir Toyo.

“Dia tahu dan saya tahu,” katanya ringkas tanpa mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan projek pembangunan The Park 2 di Bukit Jalil hari ini.
Ahad lalu, Tengku Adnan yang juga menteri Wilayah Persekutuan berkata, kekalahan BN pada pilihan raya umum 2008 antaranya berpunca daripada kemarahan rakyat terhadap Khir dalam isu pencerobohan kuil dan anugerah penyapu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

Khir mengakui kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008 berpunca daripadanya. Bagaimanapun pada 2013 BN kalah lebih teruk sehingga hilang lima negeri.

Beliau juga mengkritik keras dengan berkata punca masalah BN dan Umno apabila “tidak berani membuat penilaian sebenar, hidup dalam kepura-puraan mengenai persepsi rakyat”.

– M’kini

.