SAYA TAK GENTAR, JUMPA DI MAHKAMAH, KATA ZAMIHAN

Penceramah kontroversi Zamihhan Mat Zin berkata beliau tidak gentar atau tertekan dengan saman fitnah pendakwah Kanada Abu Ameenah Bilal Philips terhadapnya.

“Saya tidak sesekali berasa gentar atau tertekan dengan saman seumpama ini. Kita bertemu di mahkamah nanti.

“Insya-Allah. Allah Maha Mengetahui siapa yang benar dan siapa yang memulakan angkara,” katanya ringkas dalam tulisan di Facebook sebentar tadi.

Bilal Philips pada 28 September lalu memfailkan saman fitnah lebih RM1 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Zamihan susulan tulisan di Facebook yang merujuknya sebagai “penyokong keganasan antarabangsa”.

Bilal Philips, yang memeluk Islam pada sekitar tahun 70-an, berkata kenyataan yang dimuat naik itu palsu, fitnah dan tidak berasas sama sekali dan beliau menuntut ganti rugi lebih RM1 juta.

Dalam pernyataan tuntutan, Bilal Philip berkata beliau menulis lebih 50 buku berkaitan Islam, berdakwah di seluruh dunia dan rancangan bercorak Islam seperti di Peace TV, Huda TV, dan Deen Show, Chicago, Amerika Syarikat.

Pemegang kelayakan akademik daripada universiti di Arab Saudi dan United Kingdom itu juga berkata beliau pernah menyampaikan ceramah agama di Malaysia, terhadap kerabat diraja Perlis.

– M’kini

.