SAYA SANGGUP SALAH GUNA KUASA UNTUK RAKYAT – BEKAS MB

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak bimbang dengan saman RM14 bilion pleh Puncak Niaga Holding Bhd ke atas dirinya dan beberapa pihak lain.

“Tidak, saya tidak (takut),” katanya ketika ditanya jika dirinya bimbang dengan sama berkenaan.

Mengenai dakwaan firma itu bahawa beliau telah menyalahgunakan kuasanya, ahli politik veteran itu menjawab bagi pihak rakyat Selangor, beliau bersedia berbuat demikian.

“Itu hak dia untuk saman, tapi saya jalankan tugas untuk kebaikan rakyat Selangor. Jadi maknanya dia nak harga lebih sajalah,” katanya.

Bercakap kepada pemberita di Parlimen, Khalid berkata semasa menjadi menteri besar dari 2008 hingga 2014, beliau telah berlaku adil kepada pihak berkepentingan dalam penstrukturan semula aset air di Selangor.”Dari sudut pandangan saya, saya bayar mereka lebih daripada harga patut,” katanya.

Apabila dimaklumkan bahawa Puncak Niaga tidak berpuas hati dengan harga yang diberikan, Khalid berkata: “Semua orang tidak akan gembira apabila mereka tidak mendapatkan apa yang mereka hajati.”

Puncak Niaga Holdings Bhd memfailkan tuntutan saman RM14 bilion ke atas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Abdul Khalid serta kerajaan negeri berhubung pengambilalihan industri air negeri itu.

Adalah dilaporkan Puncak Niaga mendakwa bahawa kedua-dua Azmin dan Khalid menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengancam untuk memaksa kerajaan persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air untuk pengambilalihan itu.

Dalam satu kenyataan dengan Bursa Malaysia semalam, Puncak Niaga mendakwa bahawa kerajaan Selangor “bertanggungjawab terhadap perbuatan Khalid dan Azmin”.

Pengurusan kes itu telah ditetapkan pada 28 November ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

image: https://i.malaysiakini.com/727/c5e4ddd4776088821edef13e07151a28.jpg

Sementara itu, Khalid enggan mengulas sama ada jumlah pampasan RM14 bilion yang dituntut oleh Puncak Niaga adalah keterlaluan. 

“Saya tidak boleh ulas, saya belum lihat dokumen mahkamah dan semua itu,” katanya.

Kerajaan Selangor dan Putrajaya menandatangani memorandum persefahaman pada 2014 yang menyaksikan negeri itu mengambil alih empat syarikat konsesi air yang beroperasi.

Di bawah penstrukturan semula air Selangor, kerajaan negeri mengambil alih aset air yang dimiliki oleh Puncak Niaga, SYABAS dan Konsortium Abass bernilai lebih RM6 bilion.

Pelupusan syarikat PNSB dan SYABAS selesai pada 15 Okt 2015 pada harga RM1.55 bilion.

Penyatuan aset air masih berterusan kerana pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd masih belum selesai.

– M’kini

.