‘SAYA OK JADI PM TAK SAMPAI SEPENGGAL’

SHAH ALAM –  Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima jika khidmatnya sebagai Perdana Menteri Malaysia hanya bertahan kurang sepenggal selepas PRU14.

Menurutnya, setiap keputusan untuk kekal satu penggal, ada proses yang perlu dilalui terlebih dahulu.

“Saya OK sahaja… semua bergantung pada keputusan parti,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamatnya Konvensyen Pakatan Harapan 2018 hari ini.

Jelasnya, pada usianya yang menjangkau 93 tahun, sudah pasti ia tidak mampu bertahan lama (sebagai Perdana Menteri).

“Saya tak akan bertahan selamanya… saya OK dan akan patuh dengan keputusan parti,” ujarnya.

Mahathir sebelum ini diumumkan sebagai perdana menteri ketujuh jika Harapan menang pada PRU14 ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengapa tiada calon muda diangkat sebagai calon Perdana Menteri, Mahathir berkata, khidmat pemimpin muda akan digunakan dalam pentadbiran negara.

“Saya ada pengalaman dan mereka muda ada kemahiran, sama-sama guna untuk terus majukan negara,” katanya

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengagihan kerusi yang dilihat tidak seimbang apabila Amanah hanya mendapat 27 kerusi daripada 165 di seluruh Semenanjung, Mahathir berkata, semua parti turut tidak berpuas hati.

“Bukan Amanah sahaja tak puas hati, semua parti pun tak puas hati, kira adillah tu. Kalau nak ikut, parti kita pun mintak lebih, tapi dapat banyak tu saja,” katanya.

Bersatu merupakan parti yang paling banyak kerusi apabila memperoleh sebanyak 52 kerusi ddikuti PKR (51), DAP (35) dan Amanah (27).

Sebelum ini, pengumuman calon perdana menteri itu dibacakan Ketua Setiausaha Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah pada kemuncak Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC).

Dalam pengumuman sama, Saifuddin berkata, jawatan Perdana Menteri Malaysia ke lapan akan diserahkan kepada Ketua Umum Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

– http://www.sinarharian.com.my

.