‘SAYA MASIH DALAM PAS, TETAP KEKAL BERSAMA PRESIDEN’ – TUAN IBRAHIM

KUANTAN – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa beliau masih dalam Pas dan akan terus bersama kepimpinan presiden parti Islam itu.

Menurutnya, beliau tidak pernah menyuarakan hasrat meletakkan jawatan dalam parti itu sebagaimana didakwa dan disebarkan oleh sesetengah pihak.

“Saya sebenarnya malas nak layan berita bohong ini. Saya pun tak pasti siapa yang membuat fitnah tersebut dan apa motif mereka.

“Tapi tak apalah nanti mereka akan jawab di Padang Mahsyar dakwaan yang mereka lemparkan itu,” katanya ketika menjawab dakwaan peletakan jawatannya dalam Pas berikutan isu dana RM90 juta, dialirkan kepada pemimpin tertinggi parti itu.

Menurutnya, beliau bersama kepimpinan baru sahaja selesai mengadakan retreat Pas Pusat bagi merangka strategi menghadapi PRU14.

Tuan Ibrahim dalam pada itu, turut memaklumkan beliau akan tetap istiqamah bersama pas.

“Saya tiada masalah bekerjasama bersama kepimpinan Pas…malah kami seronok  berada dalam pasukan yang penuh ukhuwah dan semangat jihat tinggi bagi mendaulatkan Islam di negara ini,” katanya.

Selain itu, beliau mengharapkan supaya dihentikan sebaran berita palsu berhubung dakwaan itu.

Kelmarin, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabbar menafikan dakwaan bahawa pemimpin tertinggi itu meninggalkan parti itu dan menyifatkan ia sebagai berita palsu.

Pada 6 Ogos lalu, Sarawak Report menerbitkan artikel mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merayu Pas agar menjauhi gabungan pembangkang dengan RM90 juta dialirkan kepada pemimpin tertinggi parti itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Sarawak Report yang berpangkalan di London, dikendalikan Claire Rewcasatle-Brown didakwa Najib sebahagian konspirator menggulingkan beliau daripada kerajaan.

Pada 8 Ogos lalu, Tuan Ibrahim mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap portal itu kerana menyebar berita palsu dan niat jahat, selain agenda dikaitkan dengan Umno.

SINAR HARIAN

.