‘SAYA LEGA TAK DUDUK DALAM KABINET LAGI’

Walaupun telah bersara daripada politik pada 2009, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata beliau masih digesa supaya menjadi menteri supaya dapat terus menyumbang terhadap negara ini.

“Ramai yang fikir saya patut terus berada dalam barisan kabinet. Tapi saya bersyukur kepada Allah saya tidak lagi dalam barisan kabinet.

“Lihat saja dunia hari ini, saya rasa saya tak boleh nak handle (tangani),” kata bekas menteri dan anggota Majlis Tertinggi Umno itu dipetik sebagai berkata.

Syed Hamid, 73, menjelaskan ledakan maklumat yang dipenuhi dengan berita dan maklumat palsu dan cepat tular mudah mempengaruhi pemikiran rakyat.

Itu, katanya, antara cabaran utama pemimpin-pemimpin yang ada sekarang, sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang.

Perkara itu menjadi cabaran utama tidak kira di pihak kerajaan atau pembangkang.

Berucap semasa majlis Legasi 60 tahun Malaysia di Wisma Bernama di ibu negara baru-baru ini Syed Hamid berkata sebagi pemimpin seseorang itu harus yakin dengan apa yang dianugerahkan tuhan kepada mereka dan pasti ada hikmahnya.

Beliau yang berpengalaman menganggotai kabinet selama 20 tahun di bawah tiga perdana menteri berkata sejak sekian lama dunia ini – terutama dalam bidang politik – dipenuhi dengan persepsi.

Anak Allahyarham Syed Jaafar Albar – yang digelar sebagai Singa Umno – itu juga menceritakan bagaimana beliau tidak pernah terfikir menceburi bidang politik sebaliknya hanya berminat untuk menjadi seorang peguam sejak kecil.

Ketepi rasa kecewa

Hal itu disebabkan beliau berpandangan, polis tidak menjalankan tugas seperti yang sepatutnya. Justeru, katanya, undang-undang sangat perlu untuk mempertahankan apa yang beliau percaya sebagai hak orang ramai.

“Persepsi itu timbul apabila polis telah menahan saya disebabkan mercun yang dimainkan oleh orang lain. Ia telah membina satu persepsi negatif terhadap polis.

“Hingga hari ini pun dunia ini dipenuhi persepsi terutama dalam politik sendiri,” katanya.

Syed Hamid memiliki ijazah undang-undang dari Inns Of Court, London pada 1970. Selepas bersara daripada politik, beliau dilantik kerajaan menjadi pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sejak 2010 hinggalah digantikan oleh Tan Sri Isa Samad pada Jun lalu.

Beliau berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah orang yang bertanggungjawab menawarkannya bertanding di kerusi parlimen Sungai Benut, Johor, yang kini dikenali sebagai Simpang Renggam pada 1980-an.

Selepas bersetuju dan persiapan dibuat namanya digugurkan dan diganti dengan Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail iaitu anak sulung Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman.

Walaupun persiapan lengkap sudah berjalan, termasuk gambar yang ditempah untuk dibuat poster, Syed Hamid mengetepikan rasa kecewa malah turun padang membantu Mohamed Tawfik berkempen demi memastikan kemenangan BN.

“Orang sekarang saya fikir apabila nama dah dicalonkan, dah buat persiapan semua… apabila tak dapat bertanding pasti akan kecewa dan akan lompat ke parti lain.

“Saya tak masuk parti lain sebab saya percaya itu bukan rezeki saya,” katanya.

– M’kini

.