‘SAYA LEBIH CERDIK DARI HERO HINDI’

Negara kebelakangan ini menyaksikan kes-kes rasuah berprofil tinggi disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah teraju Datuk Dzulkifli Ahmad.

Kata Ketua Pesuruhjaya SPRM itu beliau terinspirasi daripada filem pecah panggung Hindi yang memaparkan watak utama yang menangkap dan membunuh pesalah rasuah setiap Jumaat, Gabbar Is Back.

Dzulkifli malah menambah beliau “lebih cerdik” berbanding watak utama filem itu yang dilakonkan Akshay Kumar kerana tidak perlu memilih hari tertentu untuk menangkap pesalah rasuah.

“Saya lebih pandai berbanding Gabbar kerana saya tak cuma tahan orang pada hari Jumaat. Jika saya cuma buat pada hari Jumaat, mereka (boleh jangka) lari dan media cuma datang sekali seminggu.

“Penahanan (oleh SPRM kini) dibuat pada hari Isnin, Selasa dan hari-hari lain. Agar ada unsur suspense,” kata Dzulkifli yang mengambil alih jawatan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada Ogos tahun lalu.

Teater 90 minit

Kata Dzulkifli, jumlah penahanan yang dibuat pegawainya membuatkan mereka dilihat sebih serius dan tidak main-main.

“Imej ini sudah menjadi kebanggaan (SPRM). Pegawai SPRM juga sudah menjadi selebriti dengan muncul di laporan berita setiap hari, kami ‘tengah laku’,” katanya.

Dzulkifli sebelum ini tidak mengendahkan tuduhan bahawa beliau menyimpan cita-cita politik atau ingin menjadi selebriti. Beliau menjelaskan bahawa meraih imej popular adalah sebahagian tugasnya agar mendapat sokongan masyarakat.

Sebelum itu, Dzulkifli melancarkan teater SPRM, Bahara Emas di Istana Budaya. Bahara adalah unit metrik dalam masyarakat Melayu, yang mana satu bahara bersamaan 123 kilogram.

Teater berdurasi 90 minit itu akan dipentaskan dari 19 hingga 22 Oktober di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur.

Tetater itu berkisar tentang ketamakan, manipulasi, dan rebutan kuasa antara golongan istana pada zaman kesultanan Melaka sekitar tahun 1500-an yang membolehkan Portugis masuk ke tanah Melayu untuk berdagang yang kemudian menyebabkan kesultanan Melaka dijajah.

Dekat dengan SPRM

Menurut Dzulkifli, teater itu adalah pendekatan terbaru SPRM untuk mendidik masyarakat tentang rasuah.

“Tugas SPRM bukan saja menangkap (pesalah rasuah) tapi juga mendidik masyarakat membenci rasuah.

“Kita boleh sampaikan mesej ini melalui teater dengan menggunakan skrip yang sarat mengandungi pesan bahaya dan kesan rasuah (kepada masyarakat),” katanya kepada wartawan selepas majlis pelancaran di Istana Budaya hari ini.

Penonton boleh belajar dari teater ini bagaimana rasuah menyebabkan sesebuah negara musnah, tambahnya.

Dzulkifli berharap teater itu dapat menarik perhatian umum agar lebih menghargai tugas agensi pencegahan rasuah dalam masyarakat.

“Kami mahu rakyat rasa dekat dengan SPRM.

“SPRM perlu menjadi agensi dan apparatus rakyat. SPRM adalah suara rakyat. SPRM perlu menjaga hak rakyat dari dikhianati oleh mereka yang diberi amanah,” katanya.

Teater itu diarahkan oleh pengarah teater veteran dan dekan fakulti Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Rosminah Mohd Tahir dan akan dibintangi oleh Jalaluddin Hassan, Esma Daniel, penyanyi Farahdhiya Amir, Izzue Islam, Mardiana Alwi, anggota Kumpulan Forteen dan ramai lagi. Suhaimi Mohd Zain, atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah akan menjadi pengarah muzik.

Tiket masuk adalah percuma. Teater itu adalah diterbitkan hasil kerjasama SPRM, CTRA Production, DBP, Aswara dan Istana Budaya.

– M’kini

.