‘SAYA DENGAR NURUL IZZAH TAKUT PERTAHAN LEMBAH PANTAI’

Selain kejatuhan empat negeri di tangan pembangkang, pilihan raya umum (PRU) 2008 turut menyaksikan beberapa ‘gergasi’ BN tumbang. Salah seorangnya adalah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Selepas menjadi anggota parlimen Lembah Pantai selama tiga penggal, beliau ditewaskan Nurul Izzah Anwar. Nurul Izzah ketika itu berusia 28 tahun dan pertama kali bertanding.

Hari ini, Shahrizat yang juga ketua Wanita Umno mendakwa Nurul Izzah kini takut untuk mempertahankan kerusi itu pada PRU akan datang.

“Mana-mana saya pergi, pengundi merungut wakil rakyat tak ada. Sama ada betul atau tidak, ini maklum balas (yang diterima).

“Dengar-dengar beliau takut untuk bertanding di Lembah Pantai. Lebih baik Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin (bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar) yang jalankan tugas wakil rakyat.

“Banyak calon (wakil rakyat) pembangkang hilang (dari kawasan), cakap retorik sahaja,” katanya pada sidang media di Perhimpunan Agung Umno di PWTC, tengah hari tadi.

Justeru, beliau yakin kawasan parlimen itu akan kembali dimenangi BN pada PRU akan datang.

Pada PRU 2013, Nurul Izzah mengekalkan kemenangannya selepas menewaskan Raja Nong Chik dengan majoriti 1,847 undi.

Raja Nong Chik yang berharap untuk menjadi calon di Lembah Pantai sebelum ini berkata, kekalahan tersebut tidak membuatkannya berhenti daripada membantu penduduk di situ.

“Saya membesar di Lembah Pantai. Secara politik, saya sudah bersama rakyat di sana lebih 30 tahun sebagai Ketua Umno Lembah Pantai.

“Ia lebih kepada tautan peribadi. Lembah Pantai bukan sekadar tempat untuk menaikkan kerjaya politik saya,” katanya seperti dipetik Malay Mail online bulan lalu.

Wanita bukan kambing hitam

Dalam pada itu, Shahrizat berkata Wanita Umno tidak takut untuk berhadapan pemimpin utama pembangkang seperti Nurul Izzah, ibunya dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tokoh veteran DAP Lim Kit Siang, pada PRU akan datang.

Namun beliau akan membantah jika mereka dijadikan ‘kambing hitam’ untuk diletakkan di kawasan ‘hitam’ atau bahaya untuk Umno.

Menekankan keperluan untuk berwaspada, Shahrizat mengingatkan pimpinan parti agar tidak meletakkan calon daripada sayap itu di sana.

“Sedikit pun kita tak takut. Yang saya tak nak apabila Wanita dijadikan ‘kambing hitam’ di kawasan yang kita tahu ‘hitam’ (kawasan Umno lemah),” katanya.

Shahrizat mengesahkan Wanita Umno sudah menghantar senarai calon mereka kepada pimpinan tertinggi parti.

Katanya, Wanita peringkat negeri diberi tanggungjawab untuk mengemukakan senarai calon mereka.

“Mereka tahu calon yang sesuai. Selepas itu biro politik akan melihat senarai mereka. Akhirnya senarai yang dipertimbangkan adalah yang telah melalui saringan.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jumlah sebenar calon yang dikemukakan sayap itu.

“Ramai, sebab kami nak perdana menteri buat pilihan,” katanya.

Ketika diminta mengulas cadangan agar beliau diberikan ‘jawatan penting’ selepas PRU akan datang, Shahrizat berkata beliau tidak terlalu memikirkan perkara itu sebaliknya menumpukan perhatian untuk menyediakan jentera yang mantap buat Umno.

“Kena menang PRU dulu, dalam politik tiada siapa tahu apa akan berlaku esok,” katanya.

Cadangan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap dalam majlis penutupan Seminar Antarabangsa wanita dalam politik 2017 di PWTC, dua hari lalu.

Pada April 2012, Shahrizat meletakan jawatan sebagai Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat selepas terpalit dalam kontroversi National Feedlot Corporation (NFC)

Beliau dan keluarganya didakwa menyelewengkan dana awam untuk projek itu. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudian membersihkan namanya daripada dakwaan berperanan memberikan kontrak projek jutaan ringgit itu kepada ahli keluarganya.

– M’kini

.