‘SAYA CUMA ADA MOTOR YAMAHA LC125’

Ketua Pemuda PKR (AMK) Gombak Zainol Abidin Mohamed menafikan mempunyai kekayaan luar biasa sebaliknya mempunyai sebuah motor Yamaha LC125 untuk kegunaan harian.

Kenyataan yang dikeluarkan itu bagi menjawab dakwaan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos bahawa beliau mempunyai kekayaan luar biasa.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Jamal. Jangankan harta di luar negara, saya tak memiliki sebarang harta dalam negara sama ada tanah atau rumah.

“Yang saya ada hanyalah motor, kereta pula pula dah ditarik, dilelong dan saya menanggung hutang bank. Tapi motor memang saya ada Yamaha LC125 untuk kegunaan harian.

“Saya tak ada rumah, seinci tanah. Saya duduk dengan mak, rumah milik arwah bapa,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Zainol berkata demikian mengulas dakwaan Jamal bahawa beliau memiliki kekayaan luar biasa termasuk di London, Singapura, Australia dan Indonesia

Jamal juga mengancam akan melaporkan mengenai kekayaan yang dimilikinya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu Zainol berkata beliau tidak pernah London dan Australia seperti yang dinyatakan oleh Jamal kecuali ke Singapura dan Indonesia atas tujuan kerja.

Katanya dakwaan Jamal keatasnya hanyalah bagi meraih populariti dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) terutamanya apabila ketua baju merah itu berhasrat menentang Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Azmin Ali di Bukit Antarabangsa.

Zainol berkata ini bukanlah kali pertama beliau dituduh memiliki kekayaan luar biasa kerana pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin pernah melaporkan dirinya kepada SPRM.

Namun katanya, dakwaan Badrul Hisham hanyalah fitnah kerana sehingga kini tidak ada sebarang sabitan SPRM dibuat ke atasnya.

Sementara itu Zainol berkata beliau bersedia memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sekiranya dipanggil serta tidak teragak-agak memfailkan saman terhadap Jamal berkaitan fitnah yang dibuat keatasnya.

“Saya bersedia disiasat sepenuhnya akan beri kerjasama baik tapi sekiranya Jamal buat kenyataan fitnah di media saya bersedia ambil tindakan saman fitnah ke atas dia.

“Dia boleh kemukakan bukti saya tak ada halangan tapi media pun tahu Jamal boleh buat macam-macam dakwaan, dia cuma nak raih populariti sebab dia pun sebut nak lawan Azmin di Bukit Antarabangsa,” katanya.

– M’kini

.